LANGKAWI, 2 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menganjurkan Mesyuarat Initial Planning Conference (IPC) bagi pelaksanaan Maritime Search and Rescue Exercise (SAREX) 'Lang Bronok' 2026 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Langkawi, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, mesyuarat ini merupakan langkah awal dalam penyelarasan eksesais berskala besar yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun hingga 2 Julai 2026 di perairan Langkawi, dengan penekanan kepada senario Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) atau operasi menyelamat mangsa secara besar-besaran di laut.
"Penganjuran SAREX 'Lang Bronok' 2026 melibatkan kerjasama pelbagai agensi strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi teknikal seperti Jabatan Laut Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)", tambahnya.
Selain itu, penglibatan sektor swasta seperti PETRONAS, YTL Langkawi Cement, SAPURA Research dan operator feri tempatan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran eksesais ini.
"Eksesais ini bukan sekadar latihan rutin, sebaliknya merupakan platform penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi serta keupayaan tindak balas pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar di laut," ujarnya.
Mesyuarat IPC ini turut menjadi medan perbincangan strategik dalam memperincikan peranan setiap agensi, termasuk aspek komunikasi, pengurusan mangsa, kawalan pencemaran serta penyelarasan maklumat awam agar setiap tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan efektif.
Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti maritim dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.












