KUANTAN, 5 APRIL – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai di kedudukan lebih kurang 7.0 batu nautika Timur Tanjung Agas, kira-kira pukul 12.15 tengah malam, 5 April.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, vesel nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin Op MAKMUR, Op TIRIS dan Op KHAS PAGAR LAUT.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong, semuanya berusia antara 19 hingga 40 tahun,” tambah beliau.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan daripada 12 batu nautika dari pantai, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Bot bersama tekong dan kru serta hasil laut dianggarkan seberat 300 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang bagi tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pencerobohan serta aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.











