18
Sat, Apr

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

LANGKAWI, 6 APRIL – Sebuah kapal persiaran yang menjalankan aktiviti sunset cruise ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis selepas dikesan melanggar syarat keselamatan dengan membawa penumpang melebihi had ditetapkan, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 5.20 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika rondaan rutin dijalankan di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika timur Pulau Bumbon Besar.

“Pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” jelas beliau.

Tambah beliau, kapal persiaran tersebut dikendalikan seorang nakhoda bersama lima kru warga tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun ketika menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

Katanya, semua individu terbabit bersama vesel dan barang kes telah ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis bagi tujuan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Laksamana Pertama Maritim Romli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan keselamatan maritim, khususnya yang melibatkan aktiviti pelancongan yang berisiko terhadap nyawa penumpang.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan serta memelihara kesejahteraan perairan negara,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

CRUISE LGK
 
CRUISE LGK3
 
CRUISE LGK4

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON