17
Sat, Oct

PELAKSANAAN OP MARDOF SABAH BUKTI SINERGI MARITIM MALAYSIA DAN DOF

KOTA KINABALU, 14 Ogos – Pelaksanaan Operasi MARDOF Sabah 5/2026 yang kini memasuki tahun kelima pelaksanaannya berjaya mencatatkan 36 tangkapan serta 1,098 pemeriksaan sepanjang tempoh operasi bermula 4 hingga 14 Ogos 2026.

Pencapaian ini membuktikan kejayaan operasi bersama yang sangat kukuh antara Maritim Malaysia Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah (DOF) secara menyeluruh meliputi kawasan dari W.P. Labuan, Sipitang, Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau, Semporna dan Tawau.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, pendekatan sinergi antara kedua-dua agensi ini bukan sekadar tertumpu kepada penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan non-operational engagement, pemeriksaan di atas bot dan jeti pendaratan ikan serta pertukaran maklumat risikan berkaitan kemasukan bom ikan yang menyalahi undang-undang.

“Gabungan kepakaran operasi antara Maritim Malaysia dan DOF bukan sahaja memperkukuh pengoperasian aset di laut, malah memperluas impak operasi kepada komuniti nelayan dan pihak berkepentingan,"

“Ini jelas apabila berlaku lonjakan 3 kali ganda kes tangkapan berbanding tahun 2025 dimana melibatkan ini adalah hasil tangkapan daripada Maritim Malaysia, DOF serta operasi bersama,” jelas beliau.

Operasi pada kali ini telah melibatkan enam Zon Maritim di Sabah dan Labuan serta pangkalan-pangkalan perikanan daerah seluruh negeri.

Sepanjang operasi dijalankan, elemen non-operational engagement turut dilaksanakan menerusi pemeriksaan di atas bot dan jeti pendaratan ikan, selain pertukaran maklumat risikan antara agensi berkaitan aktiviti kemasukan bom ikan yang menyalahi undang-undang bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan berisiko.

Elemen kesiapsiagaan turut diselitkan melalui pendekatan Preventive SAR bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan di laut.

Pemeriksaan turut dijalankan ke atas jeti-jeti perikanan utama seluruh zon maritim, bagang serta kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi terhadap pelanggaran undang-undang.

Menariknya, operasi ini turut diserikan dengan penganjuran aktiviti sukan persahabatan antara anggota Maritim Malaysia dan DOF, simbolik kepada semangat kerjasama antara agensi yang semakin mantap.

Majlis penutupan operasi ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz, selaku wakil Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat pelaksanaan operasi bersepadu seperti ini secara berkala demi memastikan keselamatan, pematuhan undang-undang serta kelestarian perairan Sabah dan W.P. Labuan sentiasa terpelihara.

MARITIM MALAYSIA LAKSANAKAN MEDEVAC PEKERJA RESORT DI SEMPORNA

SEMPORNA, 14 Ogos – Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat berhubung seorang pekerja resort yang mengalami kecederaan disyaki patah tulang selepas terjatuh di Pulau Tubing, Semporna.

Susulan maklumat tersebut, MRSC Kota Kinabalu menyalurkan maklumat kepada Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut. Maritim Malaysia Zon Maritim Semporna kemudiannya menggerakkan aset bagi melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medical Evacuation – MEDEVAC) terhadap mangsa, seorang warga China yang bekerja di sebuah resort di Pulau Tubing.

Mangsa yang disyaki mengalami kecederaan patah tulang akibat terjatuh memerlukan pemindahan segera ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan perubatan lanjut.

Operasi MEDEVAC dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan mangsa bagi memastikan beliau dapat dipindahkan dan menerima rawatan perubatan dengan segera.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata, tindakan pantas Maritim Malaysia dalam mengendalikan kes kecemasan perubatan di kawasan pulau dan perairan merupakan sebahagian daripada komitmen agensi dalam memastikan keselamatan serta kebajikan komuniti maritim sentiasa diberi keutamaan.

“Maritim Malaysia sentiasa bersedia menggerakkan aset dan anggota bagi memberikan bantuan kecemasan kepada mana-mana individu yang memerlukan, khususnya di kawasan pulau dan perairan yang mempunyai cabaran dari segi akses kepada kemudahan perubatan,

“Kerjasama serta penyampaian maklumat yang pantas daripada pihak berkaitan amat penting bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera, sekali gus membantu memastikan mangsa memperoleh rawatan yang diperlukan tanpa kelewatan,” katanya.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa keselamatan nyawa sentiasa menjadi keutamaan dan agensi akan terus memastikan kesiapsiagaan aset serta anggota berada pada tahap terbaik dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan, mencari dan menyelamat serta bantuan kecemasan di perairan negara.

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

KUCHING, 27 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) Indonesia yang disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan Sarawak dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada 23 Julai lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penahanan dilakukan kira-kira jam 11.35 pagi oleh aset Maritim Malaysia di kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik ketika melaksanakan Op PERMAI 01/2019, Op NAGA dan Op TIRIS 4.0.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia, termasuk seorang nakhoda.

Siasatan awal mendapati vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Perairan Perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Vesel bersama empat kru terbabit telah ditahan dan diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Kuching sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Mohd Khairi berkata, Maritim Malaysia Negeri Sarawak akan terus mempergiat operasi rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang maritim demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber marin negara sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

PENERIMAAN AW189 PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA

SUBANG, 13 OGOS – Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution, hari ini menyempurnakan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 Maritim Malaysia, menandakan penerimaan helikopter pertama daripada empat buah helikopter Medium Lift AW189 yang diperoleh Kerajaan bagi memperkukuh keupayaan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Majlis tersebut menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI memodenkan aset keselamatan negara serta memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan penguatkuasaan, pengawasan udara, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), MEDEVAC dan operasi khas.

Dalam ucapan pada majlis berkenaan, Menteri Dalam Negeri berkata penerimaan AW189 bukan sekadar penambahan aset kepada armada Maritim Malaysia, tetapi mencerminkan iltizam Kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan kepentingan nasional sentiasa terpelihara.

“Pelaburan dalam keselamatan merupakan pelaburan strategik bagi mempertahankan kedaulatan, melindungi rakyat serta menyokong kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara.” Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan keluasan Zon Maritim Malaysia mencecah 556,285 kilometer persegi memerlukan keupayaan pengawasan dan tindak balas yang pantas bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Helikopter AW189 mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam dan endurance sehingga lima jam, serta mampu beroperasi siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca. Dikendalikan oleh lima kru dan mampu membawa sehingga 14 penumpang, aset berkenaan memberikan keupayaan dan fleksibiliti lebih tinggi, khususnya bagi operasi di perairan yang jauh dari pesisir.

Menurut Menteri Dalam Negeri, keupayaan tersebut amat penting dalam operasi CARILAMAT kerana setiap minit amat berharga dalam usaha menyelamatkan nyawa di laut. Penerimaan empat buah AW189 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan memodenkan aset udara Maritim Malaysia agar kekal relevan dengan keperluan operasi semasa.

Sehingga 24 Julai 2026, Maritim Malaysia telah melaksanakan 116,192 pemeriksaan, 26,253 penggeledahan dan 562 tangkapan, dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion. Bagi operasi CARILAMAT pula, sebanyak 129 kes melibatkan 638 mangsa telah dilaksanakan. Perolehan empat buah AW189 diluluskan melalui Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dengan tempoh kontrak dari 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.

Menteri Dalam Negeri berkata peningkatan keupayaan aset ini akan memberi manfaat kepada nelayan, komuniti maritim, industri perkapalan, sektor pelancongan serta semua pengguna perairan negara melalui peningkatan tahap keselamatan dan keupayaan tindak balas terhadap kecemasan di laut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses perolehan, penghantaran, penerimaan dan pengoperasian helikopter AW189 Maritim Malaysia.

“Aset boleh dibeli, teknologi boleh diperoleh tetapi yang menentukan kejayaan sesebuah organisasi ialah profesionalisme, integriti dan semangat juang warganya,” katanya.

Penerimaan AW189 ini diharap dapat terus memperkukuh Maritim Malaysia sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan keselamatan perairan, menyelamatkan nyawa serta mempertahankan kedaulatan Malaysia di lautan.

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

PUTRAJAYA, 28 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh komitmen dalam mendukung aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi penyertaan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bulan Julai 2026 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Maritim Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. Turut hadir ialah barisan pengarah bahagian, pegawai kanan serta kira-kira 80 pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

Perhimpunan bulanan itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang dalam amanatnya menegaskan kepentingan memperkukuh integriti, profesionalisme dan kesiapsiagaan seluruh agensi di bawah KDN dalam menghadapi cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan bahawa ancaman seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, penyalahgunaan dadah dan rasuah memerlukan tindakan penguatkuasaan yang bersepadu, disokong oleh tadbir urus yang berintegriti serta kerjasama erat antara semua agensi keselamatan.

Selaras dengan amanat tersebut, Maritim Malaysia kekal komited memperkasakan peranannya sebagai agensi utama penguatkuasaan maritim negara melalui pengoperasian aset yang berkesan, penguatkuasaan undang-undang di laut, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta kerjasama strategik bersama agensi-agensi di bawah KDN dan rakan penguat kuasa lain.

Penyertaan Maritim Malaysia dalam perhimpunan ini mencerminkan iltizam berterusan agensi untuk mendukung agenda Malaysia MADANI, memperkukuh budaya integriti serta memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat dan negara.

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON