18
Sat, Apr

NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT

KUANTAN, 4 APRIL – Seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas bot miliknya ditemui tanpa kelibat mangsa di pesisir Pantai Sepat, di sini, petang 2 April sebelum Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima laporan daripada waris sebelum Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Ishak Ismail, 63, dipercayai keluar ke laut seorang diri pada 1 April sebelum botnya ditemui pada 2 April kira-kira pukul 5.30 petang tanpa sebarang tanda kehadiran mangsa,” katanya.

Jelas beliau lagi, operasi kini memasuki hari kedua dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tambahnya, aset Maritim Malaysia iaitu bot PERKASA 45 bersama aset agensi lain telah digerakkan ke lokasi pencarian yang meliputi kawasan seluas kira-kira 16.8 batu nautika persegi.

“Keadaan cuaca di lokasi adalah sederhana dengan angin dari arah barat laut berkelajuan antara 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak sekitar 0.5 hingga 1.0 meter,” katanya.

Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan turut berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan operasi akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang telah dikenal pasti.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha pencarian.

NELAYAN HILANG KTN3
 
NELAYAN HILANG KTN2
 
NELAYAN HILANG KTN4

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON