01
Mon, Jun

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

LUMUT, 6 APRIL – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan menerusi OP SAYONG 1/2018 dan OP KHAS TANJUNG 2, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 7.75 batu nautika tenggara Pulau Buloh sekitar pukul 7.10 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar termasuk tekong yang berusia antara 36 hingga 42 tahun.

Tambah beliau lagi, kesemua kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan iaitu 15 batu nautika dari daratan terhampir, selain gagal mengemukakan permit kerja yang sah serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai RM801,200.00 telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

“Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta pelanggaran syarat lesen perikanan,” katanya.

LUMUT VESSEL2
 
LUMUT VESSEL4
 
LUMUT VESSEL3

MESYUARAT IPC SAREX LANG BRONOK 2026, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI

LANGKAWI, 2 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah menganjurkan Mesyuarat Initial Planning Conference (IPC) bagi pelaksanaan Maritime Search and Rescue Exercise (SAREX) 'Lang Bronok' 2026 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Langkawi, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, mesyuarat ini merupakan langkah awal dalam penyelarasan eksesais berskala besar yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun hingga 2 Julai 2026 di perairan Langkawi, dengan penekanan kepada senario Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) atau operasi menyelamat mangsa secara besar-besaran di laut.

"Penganjuran SAREX 'Lang Bronok' 2026 melibatkan kerjasama pelbagai agensi strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta agensi teknikal seperti Jabatan Laut Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)", tambahnya.

Selain itu, penglibatan sektor swasta seperti PETRONAS, YTL Langkawi Cement, SAPURA Research dan operator feri tempatan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran eksesais ini.

"Eksesais ini bukan sekadar latihan rutin, sebaliknya merupakan platform penting bagi menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi serta keupayaan tindak balas pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar di laut," ujarnya.

Mesyuarat IPC ini turut menjadi medan perbincangan strategik dalam memperincikan peranan setiap agensi, termasuk aspek komunikasi, pengurusan mangsa, kawalan pencemaran serta penyelarasan maklumat awam agar setiap tindakan dapat dilaksanakan secara bersepadu dan efektif.

Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti maritim dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

LANG BRONOK
 
LANG BRONOK3
 
LANG BRONOK5

NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT

KUANTAN, 4 APRIL – Seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas bot miliknya ditemui tanpa kelibat mangsa di pesisir Pantai Sepat, di sini, petang 2 April sebelum Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima laporan daripada waris sebelum Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Ishak Ismail, 63, dipercayai keluar ke laut seorang diri pada 1 April sebelum botnya ditemui pada 2 April kira-kira pukul 5.30 petang tanpa sebarang tanda kehadiran mangsa,” katanya.

Jelas beliau lagi, operasi kini memasuki hari kedua dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tambahnya, aset Maritim Malaysia iaitu bot PERKASA 45 bersama aset agensi lain telah digerakkan ke lokasi pencarian yang meliputi kawasan seluas kira-kira 16.8 batu nautika persegi.

“Keadaan cuaca di lokasi adalah sederhana dengan angin dari arah barat laut berkelajuan antara 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak sekitar 0.5 hingga 1.0 meter,” katanya.

Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan turut berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan operasi akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang telah dikenal pasti.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha pencarian.

NELAYAN HILANG KTN3
 
NELAYAN HILANG KTN2
 
NELAYAN HILANG KTN4

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, TANGKAP IKAN KURANG 12 BATU NAUTIKA DARI PANTAI

KUANTAN, 5 APRIL – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai di kedudukan lebih kurang 7.0 batu nautika Timur Tanjung Agas, kira-kira pukul 12.15 tengah malam, 5 April.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, vesel nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin Op MAKMUR, Op TIRIS dan Op KHAS PAGAR LAUT.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong, semuanya berusia antara 19 hingga 40 tahun,” tambah beliau.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan daripada 12 batu nautika dari pantai, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Bot bersama tekong dan kru serta hasil laut dianggarkan seberat 300 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang bagi tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pencerobohan serta aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

KTN VESEL
 
KTN VESEL3

MARITIM MALAYSIA PERKASA STRATEGI PENGUATKUASAAN MENERUSI OP NAGA BARAT

KUANTAN, 4 APRIL – Satu sesi mesyuarat penyelarasan OP NAGA BARAT Bilangan 1/2026 telah diadakan dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang, 2 April lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, menjelaskan bahawa OP NAGA Barat merupakan satu inisiatif strategik penguatkuasaan bersepadu di kawasan perairan Barat Semenanjung Malaysia.

Tambah beliau, operasi ini memberi fokus kepada usaha membanteras jenayah maritim seperti pencerobohan perairan, aktiviti penangkapan ikan secara haram serta pelbagai ancaman lain yang menjejaskan kedaulatan negara.

Mazlan turut menekankan bahawa kejayaan operasi ini tidak boleh bergantung kepada satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama bersepadu pelbagai agensi. Selain Maritim Malaysia, antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta sokongan agensi lain dan rakan strategik industri termasuk PETRONAS.

Terdahulu, mesyuarat ini diadakan bagi menilai keberkesanan operasi terdahulu, meneliti pencapaian serta mengkaji kekangan dan cabaran di lapangan termasuk isu logistik, kekurangan aset dan cabaran taktikal.

“Ia juga bertujuan merancang penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan operasi pada masa akan datang menjadi lebih berkesan,” tambah beliau.

Dalam merangka strategi ke hadapan, beliau berharap agar perbincangan ini dapat menghasilkan pendekatan berimpak tinggi termasuk meningkatkan kehadiran aset di kawasan hotspot, mengadaptasi penggunaan teknologi pemantauan baharu seperti kecerdasan buatan (AI), serta mempertingkat kecekapan anggota di lapangan.

Beliau turut menegaskan, walaupun berdepan pelbagai cabaran, OP NAGA BARAT telah terbukti memberi impak positif dalam mengurangkan jenayah maritim serta kes pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam.

Operasi ini juga menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan nelayan tempatan serta memperkukuh perlindungan ke atas aset strategik negara termasuk pelantar minyak.

OP NAGA BARAT2
 
OP NAGA BARAT4
 
OP NAGA BARAT5
 
OP NAGA BARAT6

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON