17
Sat, Oct

KOLABORASI STRATEGIK : PROGRAM PEMULIAAN ABU AL-QURAN TAHUN 2026

PASIR PUTEH, 8 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan telah mengadakan kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) Negeri Kelantan bagi menjayakan Program Pemuliaan (Pelupusan) Abu Al-Quran Tahun 2026 yang berlangsung semalam.

Dalam program tersebut, Maritim Malaysia telah bertindak menyediakan pengangkutan serta mengendalikan aspek keselamatan maritim sepanjang pergerakan peserta dari Jeti APMM Tok Bali ke lokasi pelupusan di perairan laut.

Bagi memastikan kelancaran program ini, sebanyak tiga aset utama Maritim Malaysia telah dilibatkan, iaitu Kapal Maritim Jujur, Bot Penyelamat 7, dan Bot Penggalang 18.

Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memastikan bahan-bahan Al-Quran yang telah rosak, tidak lagi sesuai digunakan atau telah diproses mengikut tatacara yang ditetapkan, dapat dilupuskan secara teratur, selamat dan mematuhi garis panduan serta ketetapan yang berkuat kuasa.

Selain penyediaan pengangkutan logistik, pihak Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan turut memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan kesesuaian lokasi, keadaan cuaca, pasang surut air laut serta keselamatan perairan bagi memastikan seluruh perjalanan aktiviti berada dalam keadaan terkawal dan selamat.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam mendukung inisiatif kemasyarakatan dan keagamaan bersama agensi kerajaan lain di samping menggalas tanggungjawab utamanya menjaga keselamatan perairan negara.

BOT PANCING PUTUS HUBUNGAN DITEMUI SELAMAT

KUALA KURAU, 8 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) selepas menerima aduan berhubung sebuah bot pancing yang dilaporkan putus hubungan ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Kuala Gula, semalam.

Aduan diterima Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada jam 9.14 malam, 7 Oktober daripada seorang pengadu yang memaklumkan bot milik mangsa tidak dapat dihubungi ketika dalam perjalanan pulang ke jeti.

Mangsa dikenali sebagai Saidan bin Ellis, 45 tahun, warga Malaysia.

Susulan aduan tersebut, maklumat kejadian disalurkan kepada pihak berkaitan sebelum Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi CARILAMAT.

Aset Maritim Malaysia, Bot BENTENG 03, kemudian digerakkan dari Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau pada jam 10.20 malam menuju ke lokasi yang dilaporkan.

Bagaimanapun, pada jam 12.00 tengah malam, 8 Oktober, Maritim Malaysia menerima maklumat bahawa mangsa berjaya menghubungi pengadu dan memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan selamat.

Bot mangsa turut dilaporkan telah dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan dan dibawa ke kawasan sangkar ikan Kuala Kurau.

Bot BENTENG 03 tiba di lokasi pada jam 1.10 pagi sebelum mengiringi bot mangsa pulang ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau. Kedua-dua bot tiba dan selamat merapat di jeti pada jam 2.05 pagi.

Saidan berkata, keadaan jerebu tebal pada malam kejadian telah mengehadkan jarak penglihatan dan menyebabkan beliau bersama rakannya kehilangan panduan untuk kembali ke jeti.

“Saya amat berterima kasih kepada Maritim Malaysia khususnya Maritim Kuala Kurau serta komuniti nelayan tempatan yang membantu kami ketika berada dalam situasi genting. Syukur kami akhirnya dapat kembali kepada keluarga dengan selamat,” katanya.

Operasi CARILAMAT ditamatkan selepas mangsa dan botnya berjaya dibawa pulang dengan selamat.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman menasihatkan komuniti maritim, khususnya pengusaha bot rekreasi dan nelayan, supaya memastikan peralatan komunikasi serta keselamatan berada dalam keadaan baik sebelum turun ke laut.

Beliau turut mengingatkan agar sebarang kejadian kecemasan atau kehilangan hubungan dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

ENAM NELAYAN VIETNAM DITAHAN MARITIM MALAYSIA, TANGKAP IKAN KURANG 12 BATU NAUTIKA

KUANTAN, 6 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan enam kru warga Vietnam kerana disyaki menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai di perairan Tanjung Agas, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 10.30 malam pada 5 Oktober oleh anggota penguatkuasa Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op MAKMUR, Op MARDOF dan Op TIRIS.

Menurut beliau, pasukan yang melaksanakan rondaan menggunakan bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah vesel nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan mendapati vesel tersebut sedang menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 6.3 batu nautika tenggara dari Tanjung Agas, iaitu kurang daripada had 12 batu nautika yang dibenarkan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong, kesemuanya warga Vietnam berusia antara 31 hingga 53 tahun,” katanya.

Kesemua kru disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985. Vesel, enam kru serta hasil laut seberat kira-kira 100 kilogram kemudiannya diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Sebarang aktiviti mencurigakan di laut hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kelestarian perairan negara terus terpelihara.

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU TANGANI PERIKANAN HARAM

PUTRAJAYA, 7 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama serantau dalam melindungi sumber laut dan membanteras aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing) menerusi perkongsian pengalaman bersama 16 peserta Program Latihan The Bay of Bengal Large Marine Ecosystem Fasa II (BOBLME II) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Delegasi terdiri daripada pengurus sumber maritim, saintis dan penggubal dasar dari negara-negara pesisir Teluk Bengal. Lawatan penandaarasan itu memberi ruang kepada delegasi untuk memahami pengalaman dan pendekatan Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan undang-undang maritim, khususnya dalam membanteras pencerobohan vesel nelayan asing serta aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM), Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne menyampaikan taklimat bertajuk 'Enforcement Impact and Case Studies; Operational Achievement and MMEA Maritime Technology Advancement' yang mengetengahkan impak penguatkuasaan, kajian kes serta pencapaian operasi Maritim Malaysia dalam menangani ancaman jenayah maritim.

Menurut beliau, pendekatan penguatkuasaan yang berkesan perlu disokong oleh keupayaan risikan, pengawasan dan penggunaan teknologi bagi membolehkan tindakan diambil dengan lebih tepat dan berkesan.

“Perkongsian pengalaman seperti ini penting untuk meningkatkan kefahaman bersama mengenai cabaran perikanan haram yang semakin kompleks. Keupayaan risikan, pengawasan dan teknologi perlu digabungkan dengan kerjasama rentas sempadan bagi memastikan aktiviti yang menjejaskan sumber laut dapat dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Sesi perkongsian turut menekankan kepentingan sistem pengawasan radar bersepadu dan perkongsian maklumat risikan dalam memperkukuh kerjasama rentas sempadan. Pendekatan ini penting bagi melindungi sumber laut, memastikan kelangsungan ekosistem serta menyokong mata pencarian komuniti nelayan.

Penglibatan Maritim Malaysia dalam BOBLME II anjuran Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Tabung Alam Sekitar Global (GEF) mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh tadbir urus dan kelestarian sumber maritim.

Perkongsian kepakaran bersama negara serantau turut menyokong usaha meningkatkan keselamatan, penguatkuasaan dan pemeliharaan ekosistem laut secara bersepadu.

VNT DISYAKI SALAH GUNA SYARAT LESEN UNTUK AKTIVITI MEMANCING REKREASI

LUMUT, 4 Oktober –Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas A bersama 10 individu selepas disyaki menyalahgunakan syarat lesen vesel bagi menjalankan aktiviti memancing rekreasi di perairan Perak, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel tersebut ditahan kira-kira jam 3.06 petang pada kedudukan lebih kurang 1.7 batu nautika barat laut Pulau Tukun Perak ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan penguatkuasaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 warga Malaysia di atas vesel berkenaan, terdiri daripada seorang tekong, seorang kru dan lapan pemancing berusia antara 16 hingga 60 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila digunakan bagi tujuan selain daripada yang dilesenkan, termasuk menjalankan aktiviti memancing rekreasi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan,” katanya.

Vesel bersama kesemua individu terbabit telah ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Mohamad Shukri menegaskan bahawa Maritim Malaysia memandang serius sebarang penyalahgunaan lesen vesel dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap vesel beroperasi mengikut syarat pelesenan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut mengingatkan pengusaha serta komuniti nelayan bahawa lesen vesel dikeluarkan bagi tujuan dan aktiviti yang ditetapkan, justeru sebarang penggunaan di luar skop yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON