LUMUT, 3 APRIL – Maritim Negeri Perak berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan daun ketum dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam satu operasi di perairan Pulau Pangkor, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi terbabit bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Pangkor mendapati, bot tersebut dikendalikan dua lelaki tempatan,
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 15 bungkusan beg plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dipercayai untuk edaran sekitar Pulau Pangkor, ” katanya lagi.
Menurut beliau, kedua-dua suspek termasuk tekong berusia antara 32 hingga 46 tahun, bot serta barang rampasan seberat keseluruhan 75.3 kilogram dianggarkan bernilai kira- kira RM110 ribu, telah ditahan dan diiring ke Jeti Perikanan Kampung Acheh kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan serta memperkukuh risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.













