SANDAKAN, 16 FEBRUARI – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Muhammad Nor Aiman Arif, dikhuatiri lemas ketika menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama beberapa rakannya pada pukul 5.30 pagi namun tidak pulang ke rumah sehingga tengah hari, menyebabkan ahli keluarga bimbang dan segera melakukan pencarian.
Jelas Suhairy, pihaknya menerima laporan daripada bapa kandung mangsa pada pukul 5.54 petang selepas keluarga mangsa hanya menemukan vesel serta topi mangsa yang terapung di perairan berkenaan kira-kira 2.3 batu nautika timur laut Tanjung Semawang.
Hasil laporan tersebut, Zon Maritim Sandakan telah menyalurkan maklumat tersebut kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,
“Bot Banggi 43 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat dan menjalankan pencarian awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 6.30 petang,” katanya lagi.
Operasi CARILAMAT hari kedua diteruskan pada pukul 7.00 pagi tadi dengan membabitkan pelbagai aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Selain itu, penduduk setempat turut membantu pencarian dengan menggunakan bot persendirian.
Sehingga kini, operasi pencarian telah meliputi kawasan seluas 19 batu nautika persegi, namun mangsa masih belum ditemukan. Operasi dihentikan sementara pada pukul 6.30 petang dan akan disambung semula pada pukul 7.00 pagi esok.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan dan penduduk setempat agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Penggunaan jaket keselamatan dan pemantauan cuaca sebelum turun ke laut amat digalakkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sebarang insiden di laut, orang ramai boleh melaporkan segera ke Bilik Operasi 24 Jam, Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menerusi talian kecemasan 999.




























.svg.png)

