SANDAKAN, 19 FEBRUARI – Zon Maritim Sandakan mengesahkan penemuan mayat pagi tadi di Pantai Tanjung Pisau adalah mangsa insiden remaja hilang di Tanjung Semawang, Sabtu lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, Zon Maritim Sandakan menerima maklumat dari ketua kampung Tanjung Pisau melalui panggilan telefon berkenaan penemuan satu mayat terdampar di Pantai Tanjung Pisau lebih kurang 12 batu nautika dari tempat vesel mangsa ditemui.
“Kami menerima maklumat awal dari ketua kampung pada pukul 7.40 pagi seterusnya bertindak cepat menggerakkan aset dan memaklumkan kepada pasukan sahabat ke lokasi bagi mengambil mayat untuk tindakan pengecaman dan bedah siasat oleh pegawai perubatan di hospital.” Katanya.
Beliau yang ditemui dalam sidang media sebentar tadi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan sahabat serta penduduk kampung Semawang dan Tanjung Pisau di atas kerjasama yang diberikan sepanjang Operasi CARILAMAT dijalankan sehingga ditamatkan semalam.
“Sepanjang operasi ini, kawasan pencarian telah diperluas sehingga hampir 80 batu nautika persegi. Namun, keadaan cuaca yg tidak menentu dan laut bergelora terutama di sebelah petang menyukarkan lagi misi pencarian,” jelas beliau lagi.
Tambahnya lagi, Operasi CARILAMAT membabitkan pelbagai aset daripada Maritim Malaysia, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Dron dari APM sendiri. Selain itu, penduduk setempat turut membantu pencarian dengan menggunakan bot persendirian.
Suhairy turut memberitahu, Zon Maritim Sandakan akan mendekati penduduk di Kawasan Beluran melalui Program Sahabat Maritim yang akan dirancang pada tahun ini bagi memberi kesedaran awam tentang aspek keselamatan di laut.


















.svg.png)

