21
Sel, Apr

Grid List

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN KELUAR 31 TONG DIESEL MELALUI PERAIRAN NEGARA

VESEL PUKAT TUNDA KELAS B DITAHAN BEROPERASI DI ZON LARANGAN

BOT TUNDA LANGGAR SYARAT DITAHAN MARITIM MALAYSIA

AKTIVITI SUNSET CRUISE LANGGAR SYARAT, KAPAL PERSIARAN DITAHAN

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

MESYUARAT IPC SAREX LANG BRONOK 2026, PERKUKUH KESIAPSIAGAAN OPERASI

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, TANGKAP IKAN KURANG 12 BATU NAUTIKA DARI PANTAI

NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT

PRA-PELUNCURAN SAMBUTAN DUA DEKAD MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 5 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan Majlis Pra-Peluncuran Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi dan warganya di perkarangan Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya di sini hari ini.

Pada majlis tersebut turut dilancarkan logo rasmi sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia beserta lagu rasmi sambutan bertajuk ‘Terpuji’ yang disempurnakan oleh Datuk Haji Mohd. Rosli.

Majlis turut diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Tuan Nor Hisham bin Ibrahim, Pengarah Pembangunan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zulinda binti Haji Ramly, Pengarah Sumber Manusia Maritim Malaysia, Tuan Haji Ghazali bin Hizam dan Pengarah Komunikasi Korporat Maritim Malaysia, Puan Salawati binti Yahaya serta disaksikan barisan Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Sebagai gimik pelancaran sambutan, semua hadirin telah meluncurkan Seahawk Origami sebagai simbolik kepada ‘Helang Samudera’ yang mengambarkan imej Agensi ini, sebagai penjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.

Maritim Malaysia bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-20 pada 15 Februari nanti, dan sambutan pada tahun ini akan diadakan di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang.

 

WhatsApp Image 2025 02 04 at 10.32.10 AM
 
WhatsApp Image 2025 02 04 at 10.32.10 AM 1
 
WhatsApp Image 2025 02 04 at 10.32.12 AM
 
WhatsApp Image 2025 02 04 at 10.32.15 AM

TIADA PERMIT KERJA SAH, EMPAT WARGA MYANMAR DITAHAN

KEMAMAN, 3 FEBRUARI – Zon Maritim Kemaman menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama lima kru termasuk tekong kerana disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah. Penahanan dibuat kira-kira pukul 2.45 petang semalam di kedudukan 12.8 batu nautika dari perairan Kemaman.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali, berkata penahanan dilakukan ketika rondaan rutin Op IMAN dijalankan di sekitar perairan Terengganu. Pada kejadian berkenaan, sebuah bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah vesel nelayan tempatan sedang leka menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan sebelum dihampiri untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat awak-awak warganegara Myanmar berada di atas vesel tersebut tanpa dokumen yang sah. Mereka disyaki melanggar syarat lesen perikanan kerana berkhidmat tanpa surat kebenaran bertulis dan tiada permit lawatan kerja sementara (PLKS),” katanya lagi.

Vesel berkenaan bersama tekong warganegara Malaysia serta empat kru asing itu ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut.

Turut dirampas ialah kira-kira 12,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM37,000. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Maritim Malaysia komited mempertingkatkan kawalan serta rondaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

Pihaknya turut menggesa komuniti maritim, khususnya nelayan tempatan, agar mematuhi undang-undang dan mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut.

 

MYANMAR KEMAMAN

VESEL NELAYAN HILANG DI PERAIRAN BINTULU, OPERASI CARILAMAT DIAKTIFKAN

BINTULU, 1 FEBRUARI – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dilaporkan hilang selepas terputus hubungan komunikasi sejak 29 Januari lalu di perairan Bintulu.

Vesel yang dikendalikan oleh tiga nelayan warga Indonesia itu masih gagal dikesan, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah, pihaknya menerima laporan kehilangan daripada seorang pengadu, Faiz Yong Abdullah, pada jam 4.00 petang Khamis.

Majikan ketiga-tiga nelayan terbabit telah membuat laporan polis, memaklumkan bahawa vesel tersebut berlepas ke laut untuk menangkap ikan pada 26 Januari.

Namun, pada 29 Januari lalu, jurumudi vesel gagal dihubungi melalui alat komunikasi radio dan telefon bimbit, sekaligus menimbulkan kebimbangan sesuatu perkara yang tidak diingini telah berlaku.

Susulan laporan kehilangan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada 30 Januari, pada jam 9.00 malam.

Sebagai langkah awal, bot KILAT 44 telah dikerahkan untuk melakukan pencarian.

Bagaimanapun, usaha mencari pada malam pertama terpaksa ditangguhkan akibat keadaan cuaca buruk, untuk rekod angin kencang berkelajuan 40 kilometer sejam serta ombak setinggi 2.5 meter telah direkodkan meyebabkan Operasi CARILAMAT sukar diteruskan.

Operasi CARILAMAT hari kedua pada 31 Januari diteruskan pada jam 8.00 pagi dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Pasukan Polis Marin Jepak.

Dalam operasi ini, Maritim Malaysia turut mendapat kerjasama dan bantuan dari pasukan sahabat antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengatur gerak Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Bintulu.

Maritim Malaysia ingin menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan vesel ini atau sebarang kecemasan di laut diminta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544.

Operasi CARILAMAT mangsa berkenaan ditangguhkan petang semalam dan disambung pada hari ini yang memasuki hari ketiga.

Ikuti kemaskini terkini perkembangan insiden ini melalui platform media sosial Maritim Malaysia dari semasa ke semasa.

 

VESEL HLG BINTULU
 
VESEL HLG BINTULU3
 
VESEL HLG BINTULU4

MARITIM MALAYSIA TAHAN BOT BAWA PENUMPANG BERLEBIHAN, ABAI RISIKO KESELAMATAN

KUALA TERENGGANU, 3 FEBRUARI – Maritim Negeri Terengganu menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan serta mengabaikan aspek keselamatan demi mengejar keuntungan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, bot tersebut ditahan dalam Op IMAN ketika dalam perjalanan dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian, sekitar 0.9 batu nautika timur laut Muara Kuala Besut, pada pukul 11 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 20 penumpang, termasuk nakhoda, pembantu nakhoda, serta tujuh kanak-kanak, dan kesemua mereka didapati tidak memakai jaket keselamatan.”

“Selain itu, bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut Malaysia serta membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” katanya lagi.

Menurut beliau, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan dan penyelenggaraan peralatan kecemasan, termasuk alat pemadam api yang tamat tempoh, boleh mengundang risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.

“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” tambahnya.

Bot tersebut telah ditahan dan diiring ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

 

ABAI RISIKO TRG2

ZON MARITIM LAHAD DATU SIAP SIAGA, SEGERA BANTU MANGSA BANJIR

LAHAD DATU, 31 JANUARI – Zon Maritim Lahad Datu kekal dalam keadaan siap siaga 24 jam bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini susulan pengumuman bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada 29 Januari lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali, berkata pihaknya bersama Ahli Parlimen Lahad Datu, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, telah meninjau situasi di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang kini menempatkan seramai 443 mangsa.

“Setakat ini, seramai 146 mangsa ditempatkan di Dewan VTC Segama, 20 orang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Terusan Silam, dan 267 lagi di Dewan Kolej Vokasional Lahad Datu Segama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa selain Maritim Malaysia, beberapa agensi lain turut digerakkan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Semua pasukan penyelamat kini menunggu arahan lanjut daripada JPBD bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di perairan, terutama dalam keadaan cuaca buruk ketika ini.

“Aspek keselamatan bot atau vesel perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Kami menasihati orang ramai agar berhati-hati dan segera mendapatkan maklumat terkini sebelum turun ke laut,” tambahnya.

Sebarang aduan mengenai kegiatan jenayah atau insiden kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu melalui WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

SABAH BANTU3
 
SABAH BANTU4

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026

KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.

“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.

Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.

Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.

Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.

Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.

Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.

Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

OSTEX MARITIM
 
OSTEX MARITIM2
 
OSTEX MARITIM4
 
OSTEX MARITIM6

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC