LUMUT, 19 FEBRUARI – Maritim Negeri Perak menahan sebuah vesel pukat jerut bilis kerana dipercayai melanggar syarat sah lesen di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat Telok Belanga kira-kira pada jam 3.11 petang, isnin lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi bagi mencegah perlakuan jenayah maritim di perairan negara.
Tangkapan berkenaan dibuat dengan membabitkan seorang tekong warga tempatan dan 12 kru membabitkan dua warga tempatan dan sepuluh warga Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 69 tahun.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari satu batu nautika dari pantai.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan bilis dengan anggaran 30 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-6838737 untuk tindakan segera.



















.svg.png)

