KUALA KEDAH, 20 FEBRUARI – Seorang awak-awak kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) gagal ditemui setelah Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) selama tiga hari yang dijalankan tamat pada jam 7.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC Langkawi) telah menerima panggilan telefon melalui talian kecemasan 999 daripada pengadu menyatakan mangsa, warga Thailand telah jatuh ke laut pada jam 11.00 malam di kedudukan 21.1 batu nautika barat daya muara kuala Sungai Yan Kechil.
Susulan itu, Operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 3.15 petang Isnin lalu, dan ditamatkan jam 7.30 petang semalam selepas tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.
Bot ronda PERKASA 1226 dan bot PENGGALANG 40 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sejurus operasi CARILAMAT diaktifkan dengan bantuan agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar memastikan kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 untuk tindakan segera.



















.svg.png)

