03
Isn, Ogs

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026

SEBUAH KAPAL TANGKI DITAHAN MARITIM MALAYSIA, DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN SELANGOR

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

DUA BOT NELAYAN TEMPATAN BERSAMA TUJUH WARGA INDONESIA DITAHAN

MERSING, 15 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), melalui Zon Maritim Mersing telah menahan dua buah bot nelayan tempatan pada kedudukan 9.0 batu nautika timur Pulau Tinggi sekitar pukul 1.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, dua buah bot nelayan tempatan kelas C tersebut itu ditahan dalam operasi bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) daerah Mersing iaitu OP MARDOF.

Hasil pemeriksaan ke atas dua bot nelayan tempatan tersebut, didapati kedua - dua buah bot nelayan tersebut melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menunda kurang 12 batu nautika dari pulau.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah tujuh daripada sembilan kru daripada dua bot nelayan tersebut merupakan warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 50 tahun termasuk tekong.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Bot serta kru ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk diserahkan kepada kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

DUA BOT IND2
 
DUA BOT IND3
 
DUA BOT IND
 
DUA BOT IND4

MARITIM NEGERI PAHANG GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BIJIH TIMAH BERNILAI RM900 RIBU

KUANTAN, 14 OKTOBER – Maritim Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang membawa barangan import tidak berkastam, disyaki bijih timah hancur di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika tenggara Pulau Tioman, sekitar 11.40 malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat risikan yang disalurkan kepada pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika melaksanakan OP MAKMUR, OP TIRIS dan OP MARDOF.

Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot berkenaan bertindak melarikan diri menuju ke Pulau Tioman sebelum berjaya dipintas selepas kejar-mengejar selama lebih kurang 55 minit.

Pemeriksaan mendapati, 11 kru termasuk seorang tekong, berusia antara 23 hingga 52 tahun, kesemuanya lelaki warga Indonesia berada di atas bot berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati, bot tersebut dipercayai berasal dari Pulau Sarang, Batam, Indonesia dan cuba menyeludup masuk muatan kargo ke perairan negara.

Kesemua mereka ditahan bersama bot dan muatan lebih kurang 7,500 kilogram disyaki bijih timah hancur yang disusun di atas dek bahagian tengah bot dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM900 ribu.

Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan sempadan maritim negara melalui risikan bersepadu dan rondaan berterusan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

 

BIJIH SELUDUP2
 
BIJIH SELUDUP3
 
BIJIH SELUDUP4
 
BIJIH SELUDUP5

ANGKUT BIJIH TIMAH BERNILAI RM1.5 JUTA TANPA KEBENARAN, KAPAL KARGO INDONESIA DITAHAN

MERSING, 13 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing telah menahan sebuah kapal kargo Indonesia yang membawa barangan import tanpa kebenaran pihak berkuasa disyaki amang bijih timah di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil pada pukul 1.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa melakukan OP JAKSA dan OP TIRIS.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan, kapal kargo tersebut dilaporkan dari Tanjung Pinang Indonesia membawa muatan lebih kurang 10,240 kilogram serbuk bijih timah bernilai lebih RM1.5 juta untuk dihantar ke jeti yang terletak di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa barangan import masuk ke negara ini.

Nakhoda bersama empat kru kesemuanya merupakan warganegara Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 47 tahun ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut.

Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50 ribu mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Berikutan kes tersebut, Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan operasi di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Pihak Zon Maritim Mersing juga mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.

 

BIJIH TIMAH2
 
BIJIH TIMAH3
 
BIJIH TIMAH4
 
BIJIH TIMAH5

MARITIM MALAYSIA BANTU VESEL NELAYAN ASING INDONESIA ALAMI KEROSAKAN

LUMUT, 14 OKTOBER – Maritim Negeri Perak sekali lagi menunjukkan kecekapan dan keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara apabila menyalurkan bantuan kepada sebuah Vesel Nelayan Asing Indonesia (VNAI) yang mengalami kerosakan di kedudukan kira-kira 19 batu nautika selatan Pulau Jarak, Ahad lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob memaklumkan, kejadian dilaporkan sekitar pukul 1.24 petang selepas Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat daripada Kapal Maritim (KM) NUSA yang sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak Maritim Negeri Perak segera menghubungi Konsulat Indonesia di Pulau Pinang bagi memaklumkan situasi serta menyelaras bantuan lanjut daripada kapal peronda Indonesia untuk membantu vesel terbabit,” tambah Shukri.

Sementara menunggu bantuan tiba, KM NUSA turut mengesan sebuah lagi VNAI, KM REZEKI MAKMUR, berhampiran sempadan Indonesia-Malaysia dan meminta bantuan vesel tersebut untuk menunda KM KEMBAR JAYA, iaitu vesel yang mengalami kerosakan, keluar dari perairan Malaysia menuju ke perairan Indonesia.

Proses penyerahan dan pemantauan terhadap kedua-dua vesel berkenaan selesai pada pukul 4.25 petang, sebelum KM NUSA mengiringi mereka sehingga keluar sepenuhnya dari perairan Malaysia dalam keadaan selamat.

Tindakan pantas dan koordinasi efektif ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim sentiasa terjamin, malah mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia dalam menjaga kestabilan dan keamanan perairan serantau.

 

BANTU VESEL INDO
 
BANTU VESEL INDO3
 
BANTU VESEL INDO4

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BENIH UDANG KARA BERNILAI RM1.6 JUTA

KOTA TINGGI, 13 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan benih udang kara bernilai kira-kira RM1.6 juta hasil tindakan pantas aset Maritim Malaysia bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Malaysia, tengah malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad bin Othman berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 12.49 tengah malam oleh bot ronda Maritim Malaysia, hasil maklumat awam dan risikan lanjut oleh pasukan BSJM.

“Hasil pemantauan dan tindakan segera, bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas sebuah bot gentian kaca dengan dua enjin 250 kuasa kuda di kedudukan kira-kira 2.0 batu nautika barat daya Tanjung Setapa.”

“Pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan berumur 56 dan 57 tahun berada di atas bot tersebut,” katanya.

Bot, kru, dan semua hasil rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut menemui 68 kotak polistirena berisi kira-kira 272,000 ekor benih udang kara hidup yang disyaki dibawa masuk secara tidak sah, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui perairan Johor Timur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985, kerana mengimport atau mengeksport ikan hidup tanpa permit yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi sumber marin negara secara haram.

“Maritim Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara. Kami mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim di talian 999 atau 07-8916591 Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili,” ujarnya.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan ketangkasan dan kecekapan Maritim Malaysia dalam mengekang aktiviti penyeludupan hasil laut bernilai tinggi yang menjejaskan ekonomi serta sumber perikanan negara.

 

BENIH UDANG
 
BENIH UDANG2

Lebih banyak artikel..

Grid List

PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026

LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.

Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.

Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.

Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.

Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC