03
Isn, Ogs

Grid List

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN INDONESIA, DISYAKI CEROBOH PERAIRAN SARAWAK KERANA MENANGKAP IKAN SECARA HARAM

PERHIMPUNAN BULANAN KDN PERKUKUH INTEGRITI, MARITIM MALAYSIA KOMITED PERTAHAN KESELAMATAN NEGARA

KM BENDAHARA PERKUKUH KEUPAYAAN MARITIM MALAYSIA DI PERAIRAN SABAH DAN LCS

EKSESAIS AQUA GUARDIAN SIRI 1/2026

SEBUAH KAPAL TANGKI DITAHAN MARITIM MALAYSIA, DISYAKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DI PERAIRAN SELANGOR

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMANTAUAN PERAIRAN, ORANG RAMAI DINASIHATKAN TIDAK MENYEBARKAN MAKLUMAT BELUM DISAHKAN

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN VIETNAM CEROBOH PERAIRAN BINTULU, DISYAKI TANGKAP IKAN SECARA HARAM

SAREX TAHAP 2 : UJI KESEPADUAN DAN TINDAK BALAS AGENSI PENYELAMAT

KUANTAN, 5 NOVEMBER – Selaku agensi yang meneraju fungsi Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) di laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menganjurkan Latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) Tahap 2 bertempat di Rompin, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, latihan berbentuk Table Top Exercise (TTX) ini menumpukan kepada situasi kecemasan melibatkan kejadian feri di laut sebagai kajian kes kepada semua agensi yang terdiri daripada peserta, penilai dan pemerhati.

Latihan turut merangkumi pengisytiharan insiden sebagai Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) serta simulasi pengurusan mangsa di darat.

Menurut Mazlan lagi, setiap agensi melaksanakan tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing dalam fasa pengesanan, koordinasi, pelaksanaan misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta penamatan operasi.

“Latihan ini menjadi platform penting bagi menguji keupayaan dan kefahaman semua agensi dalam melaksanakan tanggungjawab penyelamatan maritim secara bersama,”

“Pendekatan berasaskan simulasi situasi sebenar membolehkan kita menilai keberkesanan prosedur sedia ada dan mengenal pasti ruang penambahbaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi atas kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang latihan berlangsung sempena majlis penutupan latihan.

Untuk rekod, seramai 70 peserta yang mewakili pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan (DOF), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Pejabat Tanah dan Daerah Rompin, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Lembaga Kemajuan Tioman dan Syarikat pengendali feri tempatan.

Turut hadir dalam latihan ini ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim, Ketua Polis Daerah Rompin, YDH Superintenden Polis Sharif Shai bin Sharif Mondoi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB), Seksyen Carilamat Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Mat Kasim, serta Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor.

Program diteruskan dengan sesi Post Exercise Debrief (PXD) bagi menilai keberkesanan pelaksanaan dan mengenal pasti penambahbaikan bagi latihan pada masa hadapan sebelum berakhir dengan sesi bergambar dan pemberian cenderamata sebagai tanda penghargaan serta kenang-kenangan.

SAREX ROMPIN2
 
SAREX ROMPIN3
 
SAREX ROMPIN6
 
SAREX ROMPIN5

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

PELABUHAN KLANG, 4 NOVEMBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 12.7 batu nautika barat daya Sabak Bernam, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan kira-kira pada jam 1.30 petang oleh Kapal Maritim yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

“Semasa rondaan, Kapal Maritim telah mengesan vesel kelas C berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah 15 batu nautika dan memberi kerjasama semasa pemeriksaan,"

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong berumur 33 tahun dan tiga awak-awak yang berumur 19 hingga 24 tahun. Kesemua mereka adalah warga Myanmar,” jelas Muhaimin.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas vesel berkenaan dan vesel itu menggunakan mata pukat bersaiz 14 milimeter sekaligus melanggar syarat sah lesen.

Kesemua yang ditahan bersama 100 kilogram hasil tangkapan ikan campur diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu tidak memiliki surat kebenaran atau permit kerja yang sah daripada Ketua Pengarah perikanan, menggunakan pukat yang bersaiz kurang daripada 38 milimeter dan melakukan aktiviti perikanan di zon yang dibenarkan.

Kes tersebut juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan tiga kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang- undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Muhaimin.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (03-31760627) untuk maklum balas segera.

VESEL TEMPATAN2
 
VESEL TEMPATAN3

MARITIM MALAYSIA TERAJUI KAWALAN KESELAMATAN AIR PENGANJURAN IRONMAN

LANGKAWI, 2 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama pelbagai agensi keselamatan lain telah melaksanakan kawalan keselamatan air sempena penganjuran IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 yang berlangsung di Pantai Kok, Langkawi dari 30 Oktober hingga 1 November 2025 dengan jayanya.

Bermula sesi latihan pada 30 Oktober 2025, pelaksanaan kawalan keselamatan melibatkan latihan penyelamatan, penyediaan aset air serta penugasan anggota di sektor-sektor strategik bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran acara berlangsung pada tahap optimum.

Pada hari acara utama pada 1 November, semua petugas berada dalam keadaan siap siaga seawal 5.00 pagi, manakala aset air yang terdiri daripada bot, jetski, kayak dan pontoon telah bersedia sepenuhnya sebelum kawasan renang dibuka kepada peserta pada pukul 6.45 pagi. Acara IRONMAN 70.3 telah dimulakan pada pukul 7.05 pagi, diikuti IRONMAN Full Distance pada pukul 7.40 pagi, dengan pengawasan rapi sehingga peserta terakhir keluar dari air.

Sebanyak 15 unit bot keselamatan, sembilan unit jetski, 50 unit kayak, tujuh unit pontoon, dan tiga unit bot medik telah dikerahkan ke lokasi acara.

Penempatan aset dibuat mengikut pelan sektor yang telah ditetapkan, termasuk penyediaan tiga titik evakuasi (EVAC Point) bagi menangani sebarang insiden kecemasan melibatkan peserta.

Operasi kawalan keselamatan ini melibatkan kira-kira 180 anggota pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Telaga Harbour, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta pasukan kayak sokongan.

Pegawai Penyelaras Water Safety Team daripada Maritim Malaysia, Leftenan Komander Maritim Mohd Naiem bin Abd Razak berkata, pelaksanaan kawalan keselamatan berjalan dengan baik hasil penyelarasan dan kerjasama erat antara semua agensi terlibat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas atas komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang acara berlangsung.

“Pendekatan bersepadu antara agensi ini bukan sahaja memastikan keselamatan peserta IRONMAN terjamin, malah mencerminkan keupayaan kita melaksanakan kawalan maritim berskala besar dengan profesional dan efisien,” katanya.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab memastikan keselamatan perairan negara, khususnya dalam acara berskala antarabangsa seperti IRONMAN Malaysia yang melibatkan ribuan peserta tempatan dan luar negara.

 

IRONMAN MMEA2
 
IRONMAN MMEA3
 
IRONMAN MMEA4

LIMA NELAYAN ASING CEROBOH PERAIRAN MIRI DITAHAN

MIRI, 3 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) di sekitar 70 batu nautika barat laut Suai, Miri pada jam 7.16 malam, Jumaat (31 Oktober 2025).

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, penahanan itu dibuat hasil perkongsian maklumat dengan bahagian perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia dalam menangani pencerobohan VNA di Sarawak.

Jelasnya, vesel itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.45 petang, Jumaat lalu. Sejurus menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, vesel tersebut cuba melarikan diri serta bertindak agresif sebelum berjaya ditahan bagi tujuan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lima kru termasuk tekong yang ke semua lelaki berumur dalam lingkungan 36 hingga 53 tahun, tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa disyaki warga Vietnam.

Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

Tekong turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai kemasukan ke perairan negara ini.

Kesemua kru serta tekong vesel berkenaan juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985, manakala bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah kesalahan Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Antara barangan yang disita ialah 200 kilogram hasil tangkapan berupa ikan tuna, 300 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan vesel dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2 juta.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan perairan negara dilindungi daripada pencerobohan vesel asing yang cuba mengaut hasil laut negara secara haram menerusi rondaan bagi memastikan undang-undang di perairan negara sentiasa dipatuhi.

Sebarang kegiatan mencurigakan atau kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri (085-649111) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016).

MIRI ASING2
 
MIRI ASING3

OP AMBAL TANJUNG MANIS TINGKATKAN KERJASAMA STRATEGIK ANTARA AGENSI

TANJUNG MANIS, 1 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengadakan satu operasi bersama yang dinamakan OP AMBAL TANJUNG MANIS Bil 1/2025 di perairan Tanjung Manis dan Sungai Rejang pada 30 dan 31 Oktober lalu.

Operasi dengan kekuatan 27 pegawai serta anggota daripada ketiga-tiga agensi itu digerakkan bersama dua bot Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Anak Juing berkata, fokus operasi ini adalah dengan mensasarkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang persekutuan lain yang berkaitan dengan keselamatan dan pengurusan perairan negara.

Tambah beliau lagi, sepanjang operasi yang dijalankan, sebanyak 32 pemeriksaan telah dilakukan dan tiga tangkapan telah dibuat.

Kesemua kesalahan itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan pas lawatan sosial telah tamat tempoh. Kesemua suspek diserahkan kepada JIM untuk tidakan lanjut.

Dalam pada itu, sebanyak lapan kes telah dikompaun oleh pihak JLM di atas pelbagai kesalahan manakala tiga lagi diberi amaran bertulis oleh JIM.

Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ketika turun ke laut bagi mengelakkan dan mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis (011-35728765)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

OP AMBAL2
 
OP AMBAL3
 
OP AMBAL4
 
OP AMBAL5

Lebih banyak artikel..

Grid List

PROGRAM KONSERVASI TAMAN NEGERI PULAU SEMBILAN 2026

LUMUT, 24 Julai – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian ekosistem marin menerusi penyertaan dalam Program Konservasi Taman Negeri Pulau Sembilan Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Negeri Pulau Sembilan, Perak semalam.

Program berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’ifullah Shah.

Program ini melibatkan kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak berkepentingan dalam kerjasama strategik dalam memelihara khazanah alam serta memastikan kelestarian ekosistem marin negara.

Dalam program tersebut, IPMN Perak telah menggerakkan penglibatan anggotanya menerusi pelbagai aktiviti pemuliharaan, antaranya propagasi karang, penanaman pokok ambong di Pulau Lalang, pembersihan kawasan pantai serta rondaan di sekitar perairan Kepulauan Sembilan.

Penyertaan ini bukan sahaja menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti marin, malah turut memperlihatkan peranan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kerjasama rentas agensi dan sektor bersama kerajaan, pihak swasta serta pihak berkepentingan dalam melindungi alam sekitar dan sumber marin negara.

Aktiviti pembersihan pantai dan pengurusan sisa yang dilaksanakan sepanjang program turut menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC