PORT DICKSON, 12 September – Cubaan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui laluan laut yang tidak diwartakan, berjaya dipatahkan di perairan Port Dickson, malam tadi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan seramai 33 warga Indonesia, termasuk seorang tekong dalam Op BENTENG dan Op TIRIS.
Pengarahnya, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, berkata kejayaan tersebut hasil pengesanan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti penyeludupan migran yang dikesan masih menggunakan laluan laut sebagai jalan masuk bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Menurut beliau, pada sekitar jam 9.30 malam, aset ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pantai Kuala Lukut, Negeri Sembilan.
“Bot berkenaan telah diarahkan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan. Bagaimanapun, tekong bertindak memecut laju dalam cubaan meloloskan diri daripada pemeriksaan.
“Anggota Maritim Malaysia kemudiannya melaksanakan tindakan mengejar sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut," katanya.
Tambahnya, taktik menggunakan bot pancung melalui laluan laut yang sukar dikesan dipercayai merupakan antara modus operandi yang digunakan bagi mengelakkan pengesanan serta pemeriksaan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 33 individu berusia antara 13 hingga 58 tahun, terdiri daripada 21 lelaki dan 12 wanita, kesemuanya warganegara Indonesia,
“Semakan awal mendapati kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk berada di perairan Malaysia dan dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” Ujar Salehuddin.
Kesemua PATI bersama seorang tekong dan sebuah bot pancung yang ditahan dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Pemantauan serta rondaan berterusan akan dipertingkatkan, khususnya di kawasan 'hotspot' bagi memastikan sebarang cubaan menceroboh sempadan perairan negara dapat dikekang.













.svg.png)

