10
Wed, Jun

MARITIM NEGERI KELANTAN LAKSANAKAN OPERASI BERSEPADU

PASIR PUTEH, 20 FEBRUARI – Maritim Negeri Kelantan telah melaksanakan Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kelantan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan dalam usaha membasmi kehadiran pekerja warga asing tanpa izin dan mengekang penyalahgunaan dadah di kalangan komuniti maritim.

Operasi bersepadu yang melibatkan seramai 55 pegawai dan anggota penguatkuasa itu tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952 di kawasan jeti-jeti utama bot-bot nelayan jenis pukat tunda dan pukat jerut yang berlabuh di kawasan Tok Bali dan Semerak. Antara bot nelayan yang diperiksa ialah melibatkan bot zon C dan C2 yang menggaji pekerja warganegara asing khususnya dari Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

Operasi yang tamat pada jam kira-kira 2.30 petang semalam berjaya memeriksa seramai 262 orang, menahan seramai 37 warganegara asing dari Vietnam, Myanmar, Laos, Kemboja dan Thailand kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada dan bekerja di Malaysia tanpa dokumen atau permit yang sah. Manakala 8 lagi nelayan turut ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menyalahgunakan dadah.

Kesemua suspek ditahan dan diiringi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan dan 8 nelayan yang ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952 akan disiasat oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Maritim Negeri Kelantan, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JIM dan AADK diatas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam melaksanakan Operasi Bersepadu ini dalam membanteras pelanggaran undang-undang dan aktiviti jenayah di kalangan komuniti maritim di negeri Kelantan. Diharapkan operasi seperti ini lebih banyak dapat dilaksanakan dimasa hadapan.

 

OP BERSEPADU MNK4
 
OP BERSEPADU MNK2
 
OP BERSEPADU MNK3

AWAK-AWAK WARGA THAILAND JATUH LAUT GAGAL DITEMUKAN

KUALA KEDAH, 20 FEBRUARI – Seorang awak-awak kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) gagal ditemui setelah Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) selama tiga hari yang dijalankan tamat pada jam 7.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC Langkawi) telah menerima panggilan telefon melalui talian kecemasan 999 daripada pengadu menyatakan mangsa, warga Thailand telah jatuh ke laut pada jam 11.00 malam di kedudukan 21.1 batu nautika barat daya muara kuala Sungai Yan Kechil.

Susulan itu, Operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 3.15 petang Isnin lalu, dan ditamatkan jam 7.30 petang semalam selepas tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

Bot ronda PERKASA 1226 dan bot PENGGALANG 40 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi sejurus operasi CARILAMAT diaktifkan dengan bantuan agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar memastikan kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 untuk tindakan segera.

 

KUALA KEDAH THAI
 
KUALA KEDAH THAI2

MAYAT TERDAMPAR DI TANJUNG PISAU DISAHKAN REMAJA HILANG DI TANJUNG SEMAWANG

SANDAKAN, 19 FEBRUARI – Zon Maritim Sandakan mengesahkan penemuan mayat pagi tadi di Pantai Tanjung Pisau adalah mangsa insiden remaja hilang di Tanjung Semawang, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, Zon Maritim Sandakan menerima maklumat dari ketua kampung Tanjung Pisau melalui panggilan telefon berkenaan penemuan satu mayat terdampar di Pantai Tanjung Pisau lebih kurang 12 batu nautika dari tempat vesel mangsa ditemui.

“Kami menerima maklumat awal dari ketua kampung pada pukul 7.40 pagi seterusnya bertindak cepat menggerakkan aset dan memaklumkan kepada pasukan sahabat ke lokasi bagi mengambil mayat untuk tindakan pengecaman dan bedah siasat oleh pegawai perubatan di hospital.” Katanya.

Beliau yang ditemui dalam sidang media sebentar tadi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasukan sahabat serta penduduk kampung Semawang dan Tanjung Pisau di atas kerjasama yang diberikan sepanjang Operasi CARILAMAT dijalankan sehingga ditamatkan semalam.

“Sepanjang operasi ini, kawasan pencarian telah diperluas sehingga hampir 80 batu nautika persegi. Namun, keadaan cuaca yg tidak menentu dan laut bergelora terutama di sebelah petang menyukarkan lagi misi pencarian,” jelas beliau lagi.

Tambahnya lagi, Operasi CARILAMAT membabitkan pelbagai aset daripada Maritim Malaysia, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Dron dari APM sendiri. Selain itu, penduduk setempat turut membantu pencarian dengan menggunakan bot persendirian.

Suhairy turut memberitahu, Zon Maritim Sandakan akan mendekati penduduk di Kawasan Beluran melalui Program Sahabat Maritim yang akan dirancang pada tahun ini bagi memberi kesedaran awam tentang aspek keselamatan di laut.

 

MAYAT SANDAKAN

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP LEBIH 10 RIBU LITER PETROL

KUDAT, 19 FEBRUARI – Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol berjumlah lebih 10,000 liter di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan oleh Unit Perisikan Zon Maritim Kudat yang berjaya mengesan aktiviti berkenaan sekitar pukul 1.00 pagi pada hari kejadian .

Bertindak atas maklumat tersebut, aset ronda Maritim Malaysia, Bot KILAT 48 segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan. Setibanya di lokasi iaitu lebih kurang 1.1 batu nautika barat laut Tanjung Meniagit, Kudat, dua buah bot mencurigakan dikesan sedang bergerak perlahan dalam gelap.

Semasa cuba untuk mendekati bot suspek, kedua-dua bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke kawasan cetek paya bakau berhampiran manakala beberapa indidvidu terlibat bertindak terjun dan melarikan diri di kawasan paya bakau berdekatan.

Dua bot suspek yang ditinggalkan berjaya ditahan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 51 tong drum berwarna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih 10,000 liter.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang dokumen atau permit sah dibawa kedua-dua bot terbabit dan dipercayai semua minyak petrol yang dibawa adalah untuk diseludup keluar ke Filipina” jelas beliau.

Bot serta barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan selanjutnya. Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot yang digunakan, dianggarkan lebih kurang RM70 ribu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah.

Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat, khususnya komuniti maritim di kawasan perairan Kudat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim. Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Kudat di 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

 

KUDAT MYK

OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT REMAJA HILANG DI TANJUNG SEMAWANG DITAMATKAN

SANDAKAN, 19 FEBRUARI – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang remaja lelaki yang hilang di perairan Tanjung Semawang sejak Sabtu lalu dihentikan setelah memasuki hari keempat  selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, operasi pencarian ini melibatkan empat buah vesel dan satu unit dron daripada pelbagai agensi sahabat, dengan bantuan beberapa buah bot penduduk kampung.

“Sepanjang operasi ini, kawasan pencarian telah diperluas sehingga 72 batu nautika persegi. Namun, faktor perairan yang semakin luas serta beberapa kawasan cetek menyukarkan lagi misi pencarian,” jelasnya.

Menurut beliau, operasi rasmi CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam, namun pemantauan tetap diteruskan menerusi rondaan aset Maritim Malaysia serta agensi sahabat yang bertugas di kawasan perairan berdekatan.

Terdahulu, Muhammad Nor Aiman Arif, 14 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di laut bersama beberapa rakannya sekitar pukul 5.30 pagi, Sabtu lalu.

Kehilangan mangsa disedari apabila beliau tidak pulang ke rumah seperti biasa, menyebabkan keluarga dan penduduk kampung segera melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Berikutan insiden itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, yang mewakili Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik, menzahirkan penghargaan kepada semua agensi sahabat serta komuniti maritim yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi berlangsung.

Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau petunjuk berkaitan kehilangan remaja tersebut ke Bilik Operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menghubungi talian kecemasan 999.

Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan dan memaklumkan lokasi perjalanan kepada ahli keluarga amat penting bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.

 

CARILAMAT SANDAKAN2

 

 

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON