10
Wed, Jun

KAPAL TANGKI BERSAUH TANPA KEBENARAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KLEBANG, 28 FEBRUARI – Tindakan sebuah kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di perairan Klebang awal pagi tadi membawa padah apabila ia ditahan oleh Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kapal tersebut dikesan sekitar jam 12.30 pagi semalam ketika bersauh kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Klebang tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami turut mendapati bahawa buku pelaut kru kapal telah tamat tempoh. Susulan itu, kapal ditahan sekitar pukul 1.00 pagi, “

“Sementara nakhoda dan ketua jurutera kapal, kedua-duanya warga Indonesia, dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati bersalah.

Maritim Malaysia menegaskan bahawa semua pengendali kapal perlu mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelakkan tindakan tegas.

 

KAPAL KLEBANG

MEDEVAC | MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA BAYI ALAMI PNEUMONIA

KUANTAN, 25 FEBRUARI – Maritim Negeri Pahang melakukan misi Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi membawa seorang bayi perempuan mengalami masalah Pneumonia (jangkitan kuman pada paru-paru) di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi mendapatkan rawatan segera di Hospital Rompin, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, misi bantuan itu telah dilaksanakan oleh aset Pos Maritim Teluk Gading setelah Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan menerima permohonan untuk bantuan pemindahan pesakit daripada Klinik Kesihatan Tekek pada jam sekitar 12.45 pagi.

Pesakit, adik Nurul Nur Syakilla binti Mohd Shaffaiz, berusia satu tahun itu mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru berada dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan bantuan oksigen yang lebih tinggi.

Pesakit diiringi oleh seorang ahli keluarga, seorang pegawai perubatan dan dua jururawat kesihatan selamat tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada jam 4.40 pagi, sebelum dipindahkan ke ambulan untuk dikejarkan ke Hospital Rompin bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

MEDEVAC KUANTAN3
 
MEDEVAC KUANTAN2

WARGA ASING DITAHAN OPERASIKAN BOT PUKAT TUNDA KELAS B TANPA DOKUMEN SAH

KUALA KURAU, 24 FEBRUARI – Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat tunda (B) di 11.6 batu barat daya Kuala Kurau pada pukul 4.40 petang hari ini.

Bot ditahan dan diperiksa oleh kru bot BENTENG 03 dan setelah diperiksa VNT tersebut menggunakan tiga orang awak-awak warganegara asing tanpa kebenaran malah ketiga-tiga awak-awak terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 menggunakan pekerja warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1956/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua nelayan ditahan, vesel dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia meminta agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala

Kurau di talian 05-7279919 atau hubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

KK TUNDA
 
KK TUNDA3

NELAYAN WARGA ASING DICEKUP, BOT PUKAT HANYUT DITAHAN

LUMUT, 25 FEBRUARI – Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot pukat hanyut yang dikesan menjalankan aktiviti perikanan secara tidak sah kira-kira 8.7 batu nautika barat muara Bagan Panchor pada sekitar jam 10.10 pagi semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot itu ditahan oleh KM MALAWALI ketika rondaan rutin bagi membanteras jenayah maritim di perairan negeri ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar, termasuk seorang tekong, yang berusia antara 19 hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tangkapan ini dibuat atas pelanggaran Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan surat kebenaran penggunaan kru warga asing dan tidak beroperasi secara usaha sendiri.

Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja yang diperlukan.

Kesemua nelayan asing tersebut telah ditahan, manakala bot, peralatan menangkap ikan, serta hasil tangkapan kira-kira 70 kilogram ikan campur telah dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menegaskan bahawa komuniti maritim perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Pihak berkuasa turut menyeru orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perikanan haram dan pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6832254 untuk tindakan segera.

 

PUKAT HANYUT
 
PUKAT HANYUT2

MB PAHANG PANTAU KESELAMATAN PERAIRAN DARI UDARA

KUANTAN, 24 FEBRUARI – Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail hari ini meninjau keadaan perairan negeri Pahang dengan menyertai operasi udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan helikopter AW139.

Lawatan ini bertujuan menilai tahap keselamatan dan keberkesanan operasi penguatkuasaan maritim di kawasan tanggungjawab (KTJ) Maritim Negeri Pahang, selain memastikan ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing, aktiviti curi pasir dan penyeludupan dadah dapat ditangani dengan berkesan.

Ketibaan YAB Menteri Besar dan delegasi di Stesen Udara Maritim Subang disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, bersama-sama Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.

Operasi pemantauan udara ini merangkumi kawasan Rompin, Teluk Gading, pesisir pantai Pekan, Kuala Pahang hingga ke Pelabuhan Kuantan. Kawasan ini dikenal pasti sebagai titik panas bagi aktiviti jenayah maritim, termasuk penyeludupan rokok, pencerobohan nelayan asing, serta penyeludupan dadah.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, lawatan ini memperlihatkan komitmen kukuh kerajaan negeri dan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kawalan keselamatan di perairan Pahang.

“Selama dua dekad penubuhan Maritim Malaysia, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Maritim Malaysia terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu, pada 23 Januari lalu, Maritim Negeri Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Pahang bagi membincangkan langkah strategik dalam mempertingkatkan penguatkuasaan maritim di negeri ini.

Lawatan tinjauan ini mengukuhkan lagi usaha bersepadu antara kerajaan negeri dan Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Pahang bebas daripada ancaman jenayah serta terus selamat untuk aktiviti ekonomi dan perikanan.

 

MB PANTAU
 
MB PANTAU2
 
MB PANTAU4
 
MB PANTAU5

 

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON