10
Wed, Jun

ZON MARITIM LAHAD DATU LAKSANA 34,049 PEMERIKSAAN SEPANJANG EMPAT TAHUN

LAHAD DATU, 16 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah melaksanakan sebanyak 34,049 pemeriksaan di perairan negeri ini sepanjang tempoh empat tahun, dari 2020 hingga 2024.

Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali, kejayaan ini adalah hasil daripada rondaan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang dijalankan bagi memastikan keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Kami komited dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat daripada sebarang ancaman, termasuk pencerobohan, penyeludupan, dan aktiviti jenayah maritim lain,”

“Pemeriksaan secara berkala ini membuktikan keberkesanan pengawasan yang dijalankan oleh Maritim Malaysia,” katanya ketika sesi pemantauan titik panas bersama media Sabah, Sabtu lalu.

Sesi pemantauan itu melibatkan rondaan dari Perairan Telukan hingga Perairan Kunak, yang dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Pegawai Operasi Zon, Leftenan Madya Maritim Lawai Mering. Selain itu, demonstrasi penggeledahan turut diadakan bagi memperlihatkan tatacara pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan di laut.

Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maritim Malaysia turut mengedarkan stiker nombor keselamatan Maritim kepada komuniti nelayan bagi memudahkan mereka menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan. Taklimat mengenai Preventive SAR (Search and Rescue) juga disampaikan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di laut.

Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti maritim, Maritim Malaysia Zon Lahad Datu dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut mengedarkan beg dan peralatan persekolahan kepada pelajar di kawasan tersebut.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga nelayan dan masyarakat setempat.

Terdahulu, pejabat baharu Zon Maritim Lahad Datu menjadi lokasi bagi majlis bacaan Yasin, tahlil, dan tazkirah sempena Nisfu Syaaban dan sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia. Majlis itu dikendalikan oleh Ustaz Mohammad Yunus Abu, imam kariah merangkap jurunikah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Turut hadir dalam program itu ialah Komander Maritim Nik Rizam bin Nik Mohd Fauzi, pegawai staf satu bahagian penguatkuasaan operasi laut ESSCOM, bersama pegawai-pegawai serta anggota Maritim Malaysia.

Zon Maritim Lahad Datu menegaskan komitmennya untuk terus mempertingkatkan kawalan keselamatan perairan negara sambil menjalin hubungan erat dengan komuniti maritim demi kesejahteraan bersama.

 

LD TANGKAPAN
 
LD TANGKAPAN3
 
LD TANGKAPAN5
 
LD TANGKAPAN6

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

KEMAMAN, 16 FEBRUARI – Zon Maritim Kemaman menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) bersama enam awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 25 tahun hingga 49 tahun ketika sedang menangkap ikan kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan OP IMAN di sekitar perairan Terengganu telah menemukan sebuah VNT terbabit dalam keadaan mencurigakan di kedudukan lebih kurang 22 Batu Nautika dari muara Kuala Kemaman.

Sewaktu pemeriksaan dijalankan keatas vesel tersebut, anggota menggeledah turut mengesan seorang kru bot bersembunyi di sekitar ruangan tangki diesel.

Hasil pemeriksaan mendapati, vesel nelayan tempatan tersebut telah menggunakan kru melebihi syarat lesen yang dibenarkan, iaitu enam kru termasuk tekong warganegara Myammar dan telah melanggar syarat sah lesen Perikanan Malaysia.

Manakala dua kru didapati tiada permit lawatan kerja sementara (PLKS) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Vesel, tekong dan lima awak-awak warga Myanmar serta anggaran hasil tangkapan sejumlah 150 kilogram dan diesel anggaran 11 ribu liter ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Maritim Negeri Terengganu khususnya Zon Maritim Kemaman akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan kawasan perairan di negeri ini sentiasa selamat.

Maritim Negeri Terengganu turut menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

 

LESEN KEMAMAN
 
LESEN KEMAMAN2

HUT-20 | DEMONSTRASI PENYELAMATAN MARITIM CURI PERHATIAN PENGUNJUNG

GEORGETOWN, 15 FEBRUARI – Demonstrasi penyelamatan di laut yang dilakukan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencuri tumpuan lebih 10 ribu pengunjung Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia serta Karnival Maritim Perkasa 2025 yang berlangsung di Persiaran Karpal Singh siang tadi.

Demonstrasi penyelamatan ini menyaksikan Pasukan Khas Maritim Malaysia, STAR Team yang menggunakan teknik fast-roping untuk melakukan operasi menyelamat daripada atas helikopter, yang mengujakan para penonton.

Elemen letupan yang dipaparkan menambah lagi gambaran sebenar cabaran dalam berhadapan situasi getir bagi memberi pengalaman yang mendalam kepada pengunjung.

Demonstrasi turut diserikan dengan pertunjukan aset laut dan udara Maritim Malaysia, menunjukkan kepakaran dan keupayaan teknikal agensi dalam mengendalikan pelbagai jenis operasi keselamatan di laut.

Demonstrasi maritim juga merupakan sebahagian daripada acara Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia dalam memperingati 20 tahun perkhidmatan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan keharmonian perairan negara.

Keberanian dan kecekapan warga Maritim Malaysia dalam menghadapi pelbagai situasi sukar menjadi bukti kepada komitmen mereka dalam melaksanakan tugas yang penuh mencabar.

Selain itu, Karnival Maritim Perkasa 2025 juga turut menarik minat ramai pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan demonstrasi tersebut, sekali gus merayakan kejayaan Maritim Malaysia dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan perairan negara selama dua dekad.

 

 DEMO APMM
 
DEMO APMM2
 
DEMO APMM3
 
DEMO APMM4

SINDIKET SELUDUP MINYAK BERPUTIH MATA, MARITIM MALAYSIA HIDU AWAL KEGIATAN

KUDAT, 15 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat merampas lebih kurang 6,000 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina di perairan Kudat, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah bin Omar berkata, sekitar pukul 4.00 pagi tadi telah menerima maklumat daripada Unit Risikan Zon Maritim Kudat berkenaan kegiatan itu.

Bertindak atas maklumat tersebut, aset ronda Zon Maritim Kudat, Bot ADAL 04 yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan OP SEJAHTERA /OP TIRIS /OP PLUTO TIMUR dan OP CEGAH PATI segera diatur gerak ke lokasi.

Pada jarak lebih kurang 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah, bot suspek telah berjaya dikesan iaitu sebuah pam bot sedang bergerak perlahan serta mencurigakan dalam keadaan gelap.

Semasa bot suspek cuba dihampiri, dua individu bertindak nekad terjun ke kawasan laut cetek dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. Bot suspek telah berjaya ditahan dan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan membawa muatan 30 tong berwarna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih kurang 6000 liter serta enam tong gas berwarna kuning,”

“Kesemua barang terbabit dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap ataupun diseludup ke negara jiran berhampiran”, jelas beliau.

Bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina, Kudat untuk siasatan selanjutnya. Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM60 ribu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan Barang Kawalan tanpa permit sah.

Zon Maritim Kudat memohon orang awam khususnya komuniti maritim di Kudat untuk melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes ini melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

 

MINYAK KUDAT2
 
MINYAK KUDAT

 

HUT-20 | DUA DEKAD PERKUKUH KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

GEORGETOWN, 15 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Agensi utama dalam menjaga keselamatan perairan negara dengan mencatat pelbagai kejayaan dalam penguatkuasaan undang-undang di laut serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli berkata, sepanjang tempoh 2006 hingga 2024, Maritim Malaysia berjaya merekodkan sebanyak 16,259 kes tangkapan melibatkan pelbagai kesalahanantaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963, dan Ordinan Perkapalan Saudagar.

“Maritim Malaysia juga berjaya menggagalkan 1,789 kes pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) dengan menahan 15,162 kru, majoritinya berasal dari Vietnam iaitu 11,443 orang, Indonesia2,221 orang dan Thailand 956 orang,” jelas Datuk Haji Mohd Rosli.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman.

Datuk Haji Mohd Rosli turut menjelaskan, selain penguatkuasaan Maritim Malaysia turut memainkan peranan penting dalam operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Dalam tempoh tersebut katanya, 3,285 operasi CARILAMAT telah dijalankan melibatkan 16,517 mangsa insiden laut, dengan 14,094 mangsa berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia bakal memiliki Ibu Pejabat baharu yang akan dibina di Bandar Baru Salak Tinggi. Projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dijangka akan menelan kos hampir RM176 juta . Projek ini akan dilaksanakan secara konsep Reka dan Bina (Design & Build) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kemudahan yang dijangka siap pada 2029 ini akanmeningkatkan kecekapan operasi serta menampung keperluan strategik agensi ini bagi jangka masa panjang.

Bersempena ulang tahun ke-20, Maritim Malaysia dengan kerjasama Koperasi Maritim Berhad turut menganjurkan Karnival Maritim Perkasa 2025 bermula 14 hingga 16 Februari 2025 di lokasi yang sama.

Pelbagai pengisian menarik sempena program berkenaan seperti pameran kerjaya, persembahan kebudayaan, mini konsert, kaunter perkhidmatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan, penukaran kad pengenalan serta jualan produk IKS.

Pada karnival berkenaan, turut diadakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik industri seperti Galaxy Aerospace dan Amcorp Group Berhad yang turut menjayakan penganjuran Karnival Maritim Perkasa 2025.

Terdahulu majlis sambutan ini dimeriahkan dengan acara utama iaitu Fleet Review yang menampilkan 11 kapal. Tetamu kehormat serta orang ramai yang hadir juga turut dipersembahkan demonstrasi menyelamat di laut oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia.

 

HUT20
 
HUT20 2
 
HUT20 3
 
HUT20 5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON