08
Tue, Sep

USAHA SELUDUP PATI DAN DADAH GAGAL – SEORANG DIBERKAS, DUA NEKAD TERJUN LAUT

TANJUNG BIDARA, 10 OKTOBER – Cubaan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dadah keluar dari perairan Malaysia gagal apabila bot gentian yang dinaiki mereka karam setelah melanggar bot ronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi di perairan Tanjung Bidara awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar 4.00 pagi hasil maklumat risikan yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia, dipercayai ingin memasuki perairan Malaysia.

Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP MURNI, dikerah ke lokasi berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara, Melaka.

Apabila diarah berhenti untuk diperiksa, bot berkenaan bertindak agresif dan melanggar bot ronda Maritim Malaysia.

Ketika kejadian, dua daripada tiga suspek bertindak nekad terjun ke laut bagi meloloskan diri, manakala seorang lagi suspek berjaya ditahan selepas bot berkenaan hilang kawalan dan terbalik.

Siasatan awal turut mendapati bot tersebut disyaki menuju ke Pengkalan Balak, Melaka, bagi mengambil PATI serta dadah untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia 37 tahun dan telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran.

Operasi CARILAMAT turut diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek yang terjun ke laut semasa kejadian.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan, serta akan terus mempertingkatkan rondaan dan risikan di sepanjang perairan negeri ini.

PATI MELAKA
 
PATI MELAKA4
 
PATI MELAKA3

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN ANCAMAN HIDUPKAN MARIN : 27 BUBU NAGA DIRAMPAS

TUMPAT, 10 OKTOBER – Maritim Negeri Kelantan telah merampas 27 set bubu naga bersama dua pelampung berwarna putih yang diikat dengan tali di kedudukan kira-kira tiga 3 batu nautika tenggara muara Pengkalan Kubor, pada jam lebih kurang 8.47 pagi semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi, rampasan dibuat oleh sepasukan anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin operasi Ops Naga, Ops Damai dan Ops Tiris 3.0.

Hasil pemeriksaan mendapati pelampung putih tersebut dijadikan penanda lokasi bagi bubu naga yang dipasang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga dianggarkan berukuran 8 meter panjang bagi setiap satu bubu naga. Kesemua bubu naga telah diangkat dan dibawa ke Jeti Maritim NegeriKelantan untuk siasatan lanjut.

Anggaran nilai kesuluruhan rampasan hampir mencecah RM 4 ribu dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus mempergiatkan rondaan serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga yang menyalahi undang-undang dan menjejaskan ekosistem laut.

 

BUBU NAGA TUMPAT4
 
BUBU NAGA TUMPAT3
 
BUBU NAGA TUMPAT2

BOT PENUMPANG DITAHAN BAWA LEBIH MUATAN

PELABUHAN KLANG, 9 OKTOBER – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah bot penumpang yang membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan, mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berhampiran Pulau Ketam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot tersebut ditahan pada jarak kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Ketam selepas pihaknya menerima aduan awam pada sekitar jam 1.55 petang mengenai sebuah bot yang membawa lebihan penumpang di jeti penumpang Pulau Ketam.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun,” ujar beliau.

Abdul Muhaimin turut memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa 48 penumpang melebihi had dibenarkan iaitu seramai 12 orang seperti yang ditetapkan dalam lesen sah operasi.

“Tindakan membawa lebihan penumpang ini adalah kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” tegas Muhaimin.

Beliau menambah, pihaknya telah mengeluarkan beberapa kali amaran, namun kes seumpama ini masih berulang dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen.

Bot terbabit bersama tiga kru dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar mematuhi syarat lesen dan aspek keselamatan penumpang setiap masa, selain meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-660 6652 atau 999 untuk tindakan segera.

PENUMPANG KLANG
 
PENUMPANG KLANG3
 
PENUMPANG KLANG4

OPERASI BERSEPADU LAUT DAN DARAT, GEMPUR AKTIVITI DADAH SERTAI PATI DI SELANGOR

KLANG, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Klang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Selangor melaksanakan Operasi Bersepadu Laut dan Darat bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta membanteras aktiviti penyeludupan, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan penyalahgunaan dadah di perairan dan pesisir negeri ini.

Operasi yang dijalankan secara bersepadu itu memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti sebagai laluan keluar masuk PATI dan lokasi tumpuan aktiviti jenayah maritim.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kerjasama strategik antara ketiga-tiga agensi berkenaan menjadi pemangkin kepada kejayaan operasi bersepadu itu.

“Gabungan kepakaran setiap agensi membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih menyeluruh, bukan sekadar menumpukan kepada keselamatan perairan, tetapi turut merangkumi isu sosial seperti penagihan dadah dan penyeludupan,” katanya.

Tambah beliau, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan di perairan negeri Selangor sentiasa terkawal serta bebas daripada ancaman jenayah terancang dan aktiviti tidak bermoral.

 

OP BERSEPADU KLG2
 
OP BERSEPADU KLG3
 
OP BERSEPADU KLG4
 
OP BERSEPADU KLG5

OPERASI CARILAMAT KRU KAPAL HILANG DITAMATKAN, MAYAT DITEMUI BERAPUNG

PELABUHAN KLANG, 9 OKTOBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang kru kapal korek pasir MV DARRUN 88 yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.30 malam isnin lepas, ditamatkan pagi semalam selepas mayat mangsa ditemui.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, mayat mangsa dijumpai berapung kira-kira pukul 8.20 pagi semalam lebih kurang 50 meter dari kapal korek pasir tersebut bersauh, 1 batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah.

“Mayat mangsa, Luo Deliang berumur 54 tahun warga China tersebut ditemui oleh bot Maritim PERKASA 36 yang ditugaskan untuk operasi CARILAMAT serta bantuan dari Agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut membantu operasi pencarian sejak semalam.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club sekitar pukul 9.10 pagi semalam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Abdul Muhaimin dalam pada itu menyeru semua pihak yang terlibat dalam aktiviti laut agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan termasuk pemakaian jaket keselamatan.

Maritim Malaysia menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat lengkap sekiranya berlaku kecemasan, kejadian jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera.

CARILAMAT KLANG4
 
CARILAMAT KLANG3
 
CARILAMAT KLANG5
 
CARILAMAT KLANG2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON