25
Sat, Jul

TIGA WARGA ASING DITAHAN TANPA PERMIT YANG SAH

PULAU PINANG, 30 OGOS – Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan satu tangkapan terhadap pekerja sangkar ikan di perairan Batu Kawan, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, pemeriksaan pertama dilaksanakan pada sebelah pagi oleh sebuah bot peronda milik Maritim Malaysia terhadap beberapa buah sangkar ikan yang beroperasi di sekitar perairan itu.

Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebuah sangkar ikan yang berada di kedudukan 2.4 batu nautika barat Batu Kawan menggajikan tiga orang pekerja warga Myanmar dan kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Suffi lagi, ketiga - tiga pekerja sangkar ikan terbabit berumur dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.  

Kesemua kru telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

 

536270132 1186679340152456 3257735724008448714 n1

ENAM KRU WARGA ASING NELAYAN TEMPATAN DITAHAN POSITIF DADAH

MERSING, 27 OGOS – Enam kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing kerana disyaki positif dadah ketika menjalankan OP JAKSA, OP TIRIS dan OP BERSAMA Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kedudukan 3.3 batu nautika Timur Laut Tanjung Kempit pada pukul 10.00 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, kesemua suspek ditahan selepas menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati mereka disyaki positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Hasil pemeriksaan lanjut juga menemukan, dua tiub plastik berwarna lutsinar berisi hablur berwarna putih disyaki dadah jenis syabu lebih kurang 0.73 gram milIk salah seorang kru vesel yang ditahan.

Jelas beliau, enam individu terbabit adalah lelaki berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun kru dari sebuah bot nelayan tempatan yang merupakan warga Laos.

Kesemua mereka dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Dan Akta Imigresen 1959/63.

Suhaizan turut menegaskan, operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat terutama komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

Terdahulu, Zon Maritim Mersing turut menerima lawatan kerja rasmi Pengarah AADK Johor Bahru, Tuan Haji Mohd Faisal bin Maksom dan Ketua Pegawai AADK daerah Mersing, Puan Zaleha binti Abdullah di mana lawatan tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara Maritim Malaysia dalam penguatkuasaan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di kalangan komuniti maritim terutama nelayan.

 

NELAYAN DADAH
 
NELAYAN DADAH2
 
NELAYAN DADAH3

 

CUBAAN SELUDUP MINYAK KE NEGARA JIRAN, WARGA THAILAND DITAHAN

KUALA PERLIS, 26 OGOS – Cubaan seorang tekong warga Thailand menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran gagal apabila bot kayu yang dikendalikannya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot asing tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.32 batu nautika dari barat Pulau Ketam selepas menerima maklumat risikan ketika rondaan Operasi Aman (Op Aman) dan Operasi Tiris (Op Tiris) dilaksanakan.

“Hasil pemeriksaan awal, suspek mendakwa hanya membawa tong kosong, namun pemeriksaan lanjut menemukan 20 tong berisi petrol dianggarkan 450 liter,” katanya.

Beliau berkata, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong berusia 25 tahun dari Thailand dan dipercayai cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen sah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan minyak dianggarkan lebih RM17 ribu Suspek bersama hasil tangkapan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai menyalurkan maklumat segera berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 / 04-9851162 atau talian kecemasan 999.

 

SELUDUP MINYAK
 
SELUDUP MINYAK2
 
SELUDUP MINYAK4

BOT PENUMPANG SARAT 100 GUNI DISYAKI BIJIH TIMAH DIRAMPAS MARITIM MALAYSIA

KOTA TINGGI, 27 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili merampas sebuah bot penumpang sarat dengan 100 guni disyaki bijih timah bernilai kira-kira RM500 ribu dalam operasi awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohammad bin Othman berkata, bot tersebut ditemui hasil risikan dan rondaan berterusan pihaknya.

“Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot penumpang yang ditinggalkan berapung tanpa pemilik kira-kira 0.2 batu nautika utara muara Tanjung Sedili Kechil pada pukul 4.00 pagi,” katanya.

Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 100 guni disyaki bijih timah, setiap satunya seberat kira-kira 50 kilogram. Turut dirampas ialah bot, enjin dan peralatan di dalamnya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, selain Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Menurut beliau, rampasan itu membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan,” tegasnya.

Beliau turut menggesa komuniti maritim menyalurkan maklumat segera jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591.

 

BIJIH JOHOR
 
BIJIH JOHOR2

KAPAL DAGANG BERSAUH TANPA KEBENARAN DITAHAN MARITIM NEGERI PERAK

LUMUT, 25 OGOS – Sebuah kapal dagang yang berdaftar di Monrovia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Jarak, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal tersebut ditahan pada pukul 5.50 petang di kedudukan 13 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan negara,” jelasnya.

Kapal dagang yang dikendalikan 23 kru warga Pakistan, India, Rusia, Ukraine, Filipina dan Sri Lanka itu bagaimanapun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dalam operasi berasingan, Maritim Negeri Perak turut merampas 25 set bubu naga lengkap dengan bendera dan pelampung yang dipasang pada kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Pulau Talang, sekitar 9.00 pagi semalam.

“Bubu naga merupakan alat menangkap ikan yang dilarang penggunaannya kerana boleh mengancam ekosistem laut. Pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.

KAPAL BERSAUH2
 
KAPAL DAGANG BUBU

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON