PUTRAJAYA, 15 SEPTEMBER – Latihan bersama maritim SEAEX THAMAL ke-72/2025 antara Malaysia dan Thailand telah berlangsung dengan jayanya pada 9 hingga 12 September lalu, melibatkan penyertaan 8 aset laut serta seramai 332 pegawai dan anggota dari kedua-dua negara.
Majlis pembukaan eksesais diadakan di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Kuantan, Pahang pada 9 September, disempurnakan oleh Timbalan Panglima Angkatan Laut Wilayah 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abd Halim Kamarudin bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 2, Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), Laksamana Madya Nares Wongtrakul.
Manakala majlis penutup telah berlangsung pada 12 September di NAC 2, Songkhla, Thailand, disempurnakan oleh Laksamana Madya Nares Wongtrakul bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 3, TLDM, Laksamana Pertama Mohd Norizal bin Fahrudin. Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab.
Latihan SEAEX THAMAL merupakan inisiatif di bawah Combined Maritime Working Group (CMWG) Malaysia – Thailand, bertujuan meningkatkan kerjasama operasi, memperkukuh keselamatan maritim serantau, serta memelihara kepentingan bersama di Teluk Thailand, Laut China Selatan dan Laut Andaman.
Aset laut Malaysia yang terlibat ialah KD TERENGGANU dan KD SRI SABAH (TLDM), KM JUJUR (Maritim Malaysia) serta PA56 (Pasukan Polis Marin – PDRM). Thailand pula mengatur gerak HTMS PATTANI dan HTMS LAEMSING (RTN), PGM 995 (Thai-MECC) serta RTMP 817 (Royal Thai Marine Police).
Selain latihan taktikal di laut, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan serta meningkatkan persefahaman antara pegawai dan anggota kedua-dua negara.
Untuk rekod, SEAEX THAMAL merupakan manifestasi kerjasama erat di antara Malaysia – Thailand dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan keamanan maritim di rantau ini sentiasa terjamin.













