25
Sat, Jul

OPERASI BERSEPADU PERKUKUH SEMPADAN LAUT TINGKAT KEBERKESANAN PENGUATKUASAAN

LANGKAWI, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kedah dan Perlis serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis telah melaksanakan Operasi Bersepadu selama dua hari bagi mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di perairan Kedah dan Perlis.

Operasi tersebut dimulakan dengan taklimat pelaksanaan oleh Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Perlis, Leftenan Maritim Fazmin Shah bin Md Rafee Shah di Pejabat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, sebelum pasukan penguat kuasa digerakkan ke laut dengan penglibatan aset Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, pelaksanaan operasi bersepadu ini bukan sahaja memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim tetapi juga menjadi platform penyelarasan taktikal antara agensi dalam memastikan keselamatan dan kelestarian sumber laut negara terus terpelihara.

“Kerjasama strategik antara Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan MKN ini membuktikan kesepakatan semua agensi dalam memastikan aktiviti penangkapan hasil laut dijalankan secara sah serta menghalang sebarang bentuk eksploitasi sumber maritim negara,” katanya.

Objektif utama operasi ini adalah bagi membanteras jenayah rentas sempadan, membanteras aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta memperkukuh hubungan strategik antara agensi.

Sasaran operasi tertumpu kepada pemeriksaan ke atas aktiviti bot barter trade Thailand–Malaysia serta pemeriksaan ke atas vesel-vesel penangkapan ikan tempatan dan asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan syarat lesen perikanan yang ditetapkan.

Sepanjang tempoh operasi, pasukan penguat kuasa telah melaksanakan pemeriksaan dan pengeledahan ke atas beberapa vesel nelayan tempatan dan berjaya membuat tiga tangkapan di bawah Akta Perikanan 1985. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM300 ribu melibatkan hasil laut, bot fiber dan peralatan menangkap ikan.

Maritim Malaysia akan terus mempertingkat operasi bersama pelbagai agensi dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti perikanan haram, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

OP BERSEPADU LGK
 
OP BERSEPADU LGK2
 
OP BERSEPADU LGK3
 
OP BERSEPADU LGK4

JURAGAN NEKAD TINGGALKAN BOT, MARITIM MALAYSIA RAMPAS BOT KARGO BERISI 54 TONG GAS (LPG) BERSUBSIDI

TAWAU, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya memintas sebuah bot kargo yang cuba meloloskan diri dengan muatan 54 tong gas (LPG) tanpa permit dipercayai sindiket penyeludupan rentas sempadan di kawasan pesisiran pantai Batu 3, Tawau sekitar pukul 5.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP SEJAHTERA, OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah mengesan pergerakan bot kargo tersebut dalam keadaan mencurigakan ketika baru bergerak keluar dari pesisir pantai Batu 3 menghala ke kawasan sempadan perairan.

Sejurus bertembung dengan bot peronda Maritim Malaysia, juragan bot tersebut telah bertindak nekad berpatah balik dengan kelajuan tinggi ke kawasan pesisir pantai seterusnya meloloskan diri dan meninggalkan bot serta muatan bagi mengelakkan dari ditahan dan diperiksa oleh anggota penguat kuasa.

Susulan itu, pemeriksaan ke atas bot kargo tersebut menemukan sejumlah 54 tong gas (LPG) berisi berada di dalam bot tersebut tanpa sebarang dokumen yang sah. Pengesanan di sekitar kawasan bot ditahan juga gagal menemukan sebarang petunjuk juragan bot.

Bot kargo yang ditinggalkan tersebut seterusnya ditahan bersama muatan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua barangan termasuk bot, enjin bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM52 ribu.

Ariffin turut berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan dalang sindiket yang menjalankan kegiatan penyeludupan keluar barang kawalan tersebut ke negara jiran.

Pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan di jeti-jeti haram yang digunakan sindiket serta melaksanakan rondaan bagi membanteras sindiket penyeludupan rentas sempadan.

Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

RAMPAS TONG GAS
 
RAMPAS TONG GAS2

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DAN BOT FIBER DITAHAN MARITIM PERAK

LUMUT, 6 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C pada sekitar jam 2.55 petang semalam.

Penahanan VNT kelas C itu dilakukan kerana melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika, iaitu kira-kira 8.3 batu nautika barat daya Pulau Buloh serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, pemeriksaan mendapati lima awak-awak warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah itu sedang mengendalikan vesel terbabit.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Vesel dan kru ditahan manakala peralatan menangkap ikan serta hasil laut disita untuk siasatan lanjut,” jelas beliau.

Dalam operasi berasingan pada sekitar jam 5.30 petang, hasil maklumat risikan Maritim Negeri Perak telah mengesan sebuah bot fiber mencurigakan yang dinaiki dua warga tempatan yang tidak dikenal pasti.

Namun, bot berkenaan bertindak memecut dan melarikan diri ke daratan berhampiran Kampung Baharu, Sitiawan.

Pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut disyaki melakukan kesalahan kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan sebelum lesen dikeluarkan.

Bot bersama bubu naga dan hasil laut dirampas serta dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Bubu naga berisiko tinggi memusnahkan ekosistem laut. Penggunaannya dilarang dan pemiliknya boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” jelasnya lagi.

Maritim Malaysia komitmed dalam membanteras kegiatan haram demi kelestarian sumber laut dan keselamatan perairan negara.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 2254 untuk tindakan segera.

LUMUT FIBER2
 
LUMUT FIBER3
 
LUMUT FIBER4
 
LUMUT FIBER5

CUBAAN SELUDUP KELUAR DIESEL GAGAL, 32 TONG MINYAK DIESEL DIRAMPAS

KUALA PERLIS, 7 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 32 tong minyak diesel bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi di kedudukan 0.06 batu nautika dari selatan Pulau Ketam, Perlis, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom memaklumkan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dalam OP AMAN dan OP TIRIS 3.0 menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama enjin bergalah dalam keadaan mencurigakan.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati, sampan terbabit yang dipercayai berpengkalan di Pulau Ketam itu ditinggalkan tanpa pemilik.

Namun setelah diperiksa, dianggarkan lebih 960 liter minyak diesel iaitu 32 tong minyak yang dianggarkan 30 liter setiap tong telah dijumpai.

Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Pindaan 2021) dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau membawa keluar tanpa permit dan kebenaran dari pihak berkuasa.

Jelas beliau lagi, kesemua hasil rampasan yang dianggarkan hampir RM18 ribu itu dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Tambah Nak Rong, rampasan yang dilakukan ini membuktikan pihak Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi yang menjejaskan hasil negara.

Maritim Malaysia meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 serta talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.

DIESEL SELUDUP4
 
DIESEL SELUDUP2
 
DIESEL SELUDUP3
 
DIESEL SELUDUP5

TANGKAP IKAN KURANG 1.5 BATU NAUTIKA, VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN

LAHAD DATU, 6 OKTOBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang beroperasi terlalu hampir dengan daratan, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, penahanan dibuat kira-kira pukul 11.50 pagi di kedudukan 0.6 batu nautika timur Madai Kunak menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 38 tahun bersama tiga kru warga tempatan berumur 29 hingga 41 tahun '' katanya.

Beliau turut berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.

Dzulfikhar turut menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di zon larangan.

“Peraturan jarak ini ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” tegas beliau.

Vesel, kru dan hasil tangkapan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.

TANGKAP VNT
 
TANGKAP VNT2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON