22
Wed, Apr

95 TONG GAS LPG DIRAMPAS, MARITIM MALAYSIA TAWAU GAGALKAN SINDIKET SELUDUP RENTAS SEMPADAN

TAWAU, 13 SEPTEMBER – Cubaan sindiket menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau malam tadi.

Sebuah bot kargo tanpa nombor pendaftaran ditahan sekitar pukul 10.40 malam di kedudukan 1.1 batu nautika utara Tanjung Doris. Hasil pemeriksaan menemukan 95 tong gas LPG tanpa permit sah di atas bot tersebut.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot peronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan bot terbabit ketika rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kawasan sempadan perairan yang dipercayai dari negara jiran.

“Bot dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 27 tahun bersama dua pembantu berusia 29 dan 25 tahun,”

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri serta permit berkaitan barangan kawalan yang dibawa,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan turut membawa 18 tong gas berlabel Petronas, 77 tong gas berlabel MyGas serta 22 gelen kosong. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM52 ribu.

Ketiga-tiga suspek, bersama bot dan muatan, telah ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen JPDS.

Ariffin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan dalang sebenar sindiket serta terus memperketatkan kawalan di jeti-jeti haram dan rondaan pada waktu malam.

“Maritim Malaysia komited memastikan perairan Tawau bebas daripada aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang merugikan negara,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah maritim boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

TAWAU GAS2
 
TAWAU GAS3
 
TAWAU GAS4
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON