LUMUT, 15 September – Maritim Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) Negeri Perak telah melaksanakan operasi bersama di sekitar perairan Lumut, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, operasi yang dijalankan secara berkala ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan komuniti maritim serta memastikan pematuhan undang-undang di perairan negeri ini.
Operasi tersebut melibatkan seramai sembilan anggota Maritim Malaysia dan tiga anggota JLM dengan fokus kepada pemeriksaan serta penggeledahan ke atas feri penumpang.
Selain itu, risalah keselamatan turut diedarkan bagi menekankan kepentingan pemakaian jaket keselamatan ketika berada di laut.
“Dalam operasi ini, sebanyak lapan pemeriksaan berjaya dilaksanakan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, operasi bersama ini bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan maritim, malah menjadi platform kerjasama erat antara kedua-dua agensi dalam melaksanakan penguatkuasaan.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin perairan negeri Perak kekal selamat dan terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang.













