
MARITIM NEGERI PULAU PINANG TAHAN VESEL NELAYAN KELAS C, KRU DISYAKI MEMILIKI DADAH

Laman Rasmi Maritim Malaysia
Mengawal | Melindung | Menyelamat

LANGKAWI, 10 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi hari ini bermula pada pukul 7.30 pagi selepas ditangguhkan petang semalam berikutan keadaan gelap dan faktor keselamatan.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya menerima maklumat awal bahawa dianggarkan sekitar 70 orang berada di atas bot malang terbabit ketika kejadian berlaku. Anggaran itu diperoleh berdasarkan keterangan mangsa yang telah diselamatkan.
“Maritim Malaysia sebagai penyelaras operasi telah memperluaskan sektor pencarian berdasarkan analisis arus, angin serta unjuran lokasi kemungkinan mangsa hanyut,”
"Kawasan pencarian kini melibatkan pencarian permukaan laut serta tinjauan udara,” katanya lagi.
Bagi mempertingkatkan keupayaan operasi, pelbagai agensi keselamatan telah mengatur gerak aset masing-masing meliputi, Maritim Malaysia telah menggerakkan lima aset termasuk KM SIANGIN selaku On Scene Commander (OSC), bot BENTENG 7, Bot PETIR 81, Bot PERKASA 1226 serta pesawat Bombadier CL 415.
Turut terlibat, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dengan tiga aset iaitu PSC 20, RH 68 dan PLC 5, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan KD LEDANG dan FCB 1331. Jabatan Perikanan (DOF) pula menugaskan Bot DOF 2511, diikuti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan sebuah Bot Kevlar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui pengoperasian dua buah bot jenis RIB.
“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiada penemuan mangsa baharu dilaporkan. Namun, usaha pencarian akan terus dipergiat dengan kerjasama semua agensi penyelamat bagi mengesan mangsa yang masih hilang,” jelas Romli.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa.

![]() |
![]() |
MELAKA, 10 NOVEMBER – Sebuah kapal tangki disyaki menyimpan kira-kira 50 tan metrik minyak diesel bernilai hampir RM180 ribu tanpa dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di perairan Kuala Melaka, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, berkata kapal tersebut ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Operasi Murni dan Operasi Tiris 3.0 di perairan Selat Melaka.
“Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki yang sedang bersauh kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka,”
“Pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 tan metrik bahan disyaki minyak diesel di dalam tangkinya,” jelas Salehuddin.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan bakar tersebut.
Siasatan awal mendapati kapal tangki itu berasal dari Batam, Indonesia, dan dipercayai telah mengambil minyak diesel di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.
Terdahulu, kapal tersebut telah dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 46 tahun. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 kerana gagal mengemukakan dokumen pembelian bahan bakar yang sah, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan dan menafikan pemilikan bahan kawalan tersebut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan operasi di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.
![]() |
![]() |
KUALA KURAU, 9 NOVEMBER — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau, telah menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) yang disyaki menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan secara haram di posisi 32 batu nautika barat Pantai Remis lebih kurang 5.30 petang, semalam.
Pengarah Zon Matirim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Bin Othman berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua kru dan vesel ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63, kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Vesel serta kru ditunda ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menceroboh dan mengeksploitasi sumber perikanan negara, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana vesel asing yang didapati melanggar undang-undang perairan Malaysia,”
“Kami juga menyeru komuniti maritim dan nelayan tempatan agar terus menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di perairan Negeri Perak, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi melibatkan pencerobohan nelayan asing.
![]() |
![]() |