TAWAU, 15 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua bot asing dari Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan kira-kira 1.6 batu nautika barat daya Tanjung Tinagat, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali, berkata penahanan dilakukan sekitar pukul 11.30 pagi ketika rondaan rutin Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris menggunakan Kapal Maritim (KM) KIDURONG.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri, pendaftaran bot, mahupun pelepasan pelabuhan,” katanya lagi.
Juragan kedua-dua bot mengaku mereka diarahkan pihak ketiga untuk mengambil barangan dagangan tetapi tidak mengetahui lokasi itu adalah perairan Malaysia.
Kesemua tujuh individu termasuk dua juragan berusia 22 hingga 50 tahun merupakan lelaki warga Indonesia berdasarkan pengakuan mulut.
Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang muatan kecuali beberapa gelen bahan api dipercayai untuk kegunaan perjalanan jauh.
Kedua-dua bot bersama kru ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat. Nilai keseluruhan rampasan termasuk enjin bot dianggarkan RM75 ribu.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan pihak Maritim Malaysia akan merujuk perkara ini kepada Konsulat Republik Indonesia di Tawau bagi pengesahan identiti semua tahanan.
Ariffin tidak menolak kemungkinan wujud unsur sindiket penyeludupan barangan dalam kes ini.
“Maritim Malaysia komited memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” tegasnya.
Orang ramai diseru menyalurkan maklumat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.











