23
Thu, Apr

CEROBOH PERAIRAN NEGARA, DUA VESEL NELAYAN ASING DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 6 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua vesel nelayan asing Indonesia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua vesel itu ditahan oleh Maritim Malaysia ketika rondaan operasi dalam OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS di perairan Selangor, pagi semalam.

“Kedua-dua vesel nelayan asing itu ditahan pada jam 11.00 pagi dan 11.30 pagi di kedudukan 12.7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong,”

“Pemeriksaan awal mendapati, setiap vesel masing-masing dikendalikan oleh seorang tekong, bersama empat kru berusia dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun,” jelas Muhaimin.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bot tersebut berasal dari Indonesia dan kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana vesel nelayan asing yang memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran,” tegas Muhaimin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) untuk tindakan segera.

WhatsApp Image 2025 11 06 at 2.46.16 PM
 
WhatsApp Image 2025 11 06 at 2.45.12 PM
 
WhatsApp Image 2025 11 06 at 2.43.28 PM
 
WhatsApp Image 2025 11 06 at 2.42.57 PM

DUA NELAYAN HILANG SELEPAS VESEL TERBALIK AKIBAT LAUT BERGELORA DI BINTULU

BINTULU, 6 NOVEMBER – Dua nelayan dilaporkan hilang selepas vesel yang dinaiki mereka terbalik akibat laut bergelora dan angin kencang kira-kira tiga batu nautika barat laut Tanjung Payung, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB. SWEE sekitar pukul 6.15 petang, yang memaklumkan telah menyelamatkan empat mangsa vesel karam di lokasi kejadian.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Nasri Harun memberitahu vesel nelayan kelas C yang mereka naiki karam akibat keadaan laut bergelora, dan dua lagi rakan mereka masih belum ditemui.

Berikutan itu, MRSC Kuching segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan bot ronda Maritim Malaysia digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.

“Empat mangsa yang diselamatkan kini dalam pelayaran ke Pelabuhan Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Salah seorang mangsa mengalami kecederaan di tangan dan dagu,” katanya lagi.

Maritim Malaysia turut menasihatkan semua komuniti maritim agar tidak keluar ke laut ketika cuaca buruk, serta sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan undang-undang pelayaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sebarang maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2025 11 06 at 9.30.32 AM 1
 
WhatsApp Image 2025 11 06 at 9.30.31 AM

SAREX TAHAP 2 : UJI KESEPADUAN DAN TINDAK BALAS AGENSI PENYELAMAT

KUANTAN, 5 NOVEMBER – Selaku agensi yang meneraju fungsi Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) di laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang telah menganjurkan Latihan Search and Rescue Exercise (SAREX) Tahap 2 bertempat di Rompin, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, latihan berbentuk Table Top Exercise (TTX) ini menumpukan kepada situasi kecemasan melibatkan kejadian feri di laut sebagai kajian kes kepada semua agensi yang terdiri daripada peserta, penilai dan pemerhati.

Latihan turut merangkumi pengisytiharan insiden sebagai Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) serta simulasi pengurusan mangsa di darat.

Menurut Mazlan lagi, setiap agensi melaksanakan tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) masing-masing dalam fasa pengesanan, koordinasi, pelaksanaan misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), serta penamatan operasi.

“Latihan ini menjadi platform penting bagi menguji keupayaan dan kefahaman semua agensi dalam melaksanakan tanggungjawab penyelamatan maritim secara bersama,”

“Pendekatan berasaskan simulasi situasi sebenar membolehkan kita menilai keberkesanan prosedur sedia ada dan mengenal pasti ruang penambahbaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi atas kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang latihan berlangsung sempena majlis penutupan latihan.

Untuk rekod, seramai 70 peserta yang mewakili pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan (DOF), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Pejabat Tanah dan Daerah Rompin, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Lembaga Kemajuan Tioman dan Syarikat pengendali feri tempatan.

Turut hadir dalam latihan ini ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim, Ketua Polis Daerah Rompin, YDH Superintenden Polis Sharif Shai bin Sharif Mondoi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB), Seksyen Carilamat Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Mat Kasim, serta Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Mohd Marmizi bin Md Nor.

Program diteruskan dengan sesi Post Exercise Debrief (PXD) bagi menilai keberkesanan pelaksanaan dan mengenal pasti penambahbaikan bagi latihan pada masa hadapan sebelum berakhir dengan sesi bergambar dan pemberian cenderamata sebagai tanda penghargaan serta kenang-kenangan.

SAREX ROMPIN2
 
SAREX ROMPIN3
 
SAREX ROMPIN6
 
SAREX ROMPIN5

MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA SEORANG WARGA EMAS BATUK BERDARAH

MERSING, 5 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah melaksanakan Medical Evacuation (MEDEVAC) bagi membantu seorang penduduk Pulau Aur untuk mendapatkan rawatan segera setelah disyaki mengalami batuk berdarah pada pukul 4.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, pengadu, Puan Sabina binti Seth, 48, ketua kampung Pulau Aur telah membuat panggilan kecemasan memohon bantuan Zon Maritim Mersing untuk membawa pesakit terbabit ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan segera.

Beliau menambah, kapal Maritim Malaysia KM RHU telah diatur gerak ke Pulau Aur untuk memberikan bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) yang turut disertai seorang Pegawai Perubatan Hospital Mersing bagi mengiringi pesakit berkenaan.

Pesakit merupakan seorang lelaki warga emas, Mohd Safie bin Mahat, 61, dipindahkan dari kapal Maritim Malaysia KM RHU ke bot Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) daerah Mersing PTL 18 supaya mangsa lebih mudah dipindahkan ke jeti kerana atas faktor pasang surut air laut ketika itu.

Mangsa berjaya dipindahkan oleh bot ronda PTL 18 di jeti Syahbandar Mersing pada pukul 4.35 pagi tadi.

Beliau kemudiannya ltelah dibawa ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulan untuk menerima rawatan lanjut.

Sebarang aduan dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di talian 07-7982529 / 011-53226060 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

 

MERSING WARGA2
 
MERSING WARGA3
 
MERSING WARGA4

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

PELABUHAN KLANG, 4 NOVEMBER – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan 12.7 batu nautika barat daya Sabak Bernam, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan kira-kira pada jam 1.30 petang oleh Kapal Maritim yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

“Semasa rondaan, Kapal Maritim telah mengesan vesel kelas C berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah 15 batu nautika dan memberi kerjasama semasa pemeriksaan,"

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong berumur 33 tahun dan tiga awak-awak yang berumur 19 hingga 24 tahun. Kesemua mereka adalah warga Myanmar,” jelas Muhaimin.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas vesel berkenaan dan vesel itu menggunakan mata pukat bersaiz 14 milimeter sekaligus melanggar syarat sah lesen.

Kesemua yang ditahan bersama 100 kilogram hasil tangkapan ikan campur diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu tidak memiliki surat kebenaran atau permit kerja yang sah daripada Ketua Pengarah perikanan, menggunakan pukat yang bersaiz kurang daripada 38 milimeter dan melakukan aktiviti perikanan di zon yang dibenarkan.

Kes tersebut juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan tiga kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang- undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegas Muhaimin.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (03-31760627) untuk maklum balas segera.

VESEL TEMPATAN2
 
VESEL TEMPATAN3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON