25
Sat, Jul

REMAJA 15 TAHUN ANTARA YANG DITAHAN CUBA SELUDUP 3,200 LITER MINYAK DIESEL

SANDAKAN, 24 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menahan sebuah bot bersama tujuh orang warganegara tempatan dalam cubaan menyeludup keluar 3,200 liter minyak diesel semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot berkenaan ditahan pada pukul 9.00 pagi pada jarak sekitar 2.3 batu nautika tenggara Pulau Libaran selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Jelas Suhairy, pemeriksaan mendapati, bot tersebut membawa muatan 18 tong biru berisi kira-kira 3,200 liter minyak diesel yang dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua yang ditahan berusia antara 15 hingga 72 tahun dan dipercayai melakukan beberapa kesalahan, antaranya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

Selain itu, mereka turut dikesan melanggar Peraturan Pendaftaran Negara 1990 apabila tiga orang kru gagal membawa kad pengenalan diri.

“Mereka yang ditahan juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 kerana menggunakan lesen bot lain serta tidak membawa peralatan keselamatan yang sesuai bagi kapal kecil,” jelasnya.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot tersebut dianggarkan bernilai hampir RM107 ribu. Bot dan semua barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Tangkapan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta menjaga keselamatan perairan negara,” tambah beliau.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim terus ke Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-222519 atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil.

REMAJA MYK2
 
REMAJA MYK3

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC PESAKIT SAWAN DARI PULAU TIOMAN

KUANTAN, 21 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan telah melaksanakan satu operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi membawa seorang pesakit lelaki berusia 57 tahun yang mengalami sawan dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Rompin, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, panggilan kecemasan diterima MRSC Kuantan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tekek, telah memohon bantuan segera bagi memindahkan pesakit, Ahmad Rashidi Logam, yang disahkan mengalami 1st Onset Seizure.

Susulan makluman tersebut, MRSC Kuantan menyalurkan maklumat ke Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang dan aset PERKASA 1246 telah diaturgerakkan ke lokasi.

Aset PERKASA 1246 mengambil pesakit di Jeti Marina Tekek bersama waris pesakit, Norayuli binti Zakaria dan seorang jururawat pengiring, Tarani A/P Nagarajan, sebelum bertolak ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading lebih kurang pukul 11.00 pagi.

Aset berkenaan selamat tiba di jeti sekitar pukul 1.00 petang dan pesakit telah diserahkan kepada pasukan ambulans Hospital Rompin untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

MEDEVAC KTN2
 
MEDEVAC KTN3




MARITIM MALAYSIA PERKUKUH PEMBANTERASAN DADAH DI PERAIRAN SELANGOR MELALUI OPERASI BERSEPADU

PELABUHAN KLANG, 21 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah melaksanakan satu operasi bersepadu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di perairan negeri itu, pada Rabu (19 November) lalu.

Operasi yang dijalankan bermula jam 7.00 petang hingga 2.00 pagi itu melibatkan rondaan dan pemeriksaan di sekitar perairan Pelabuhan Klang hingga ke Kuala Selangor, merangkumi kawasan tumpuan bot nelayan dan bot penumpang.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Selangor, Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata, sebanyak dua aset laut Maritim Malaysia telah diatur gerak dalam operasi kali ini. Jelasnya lagi, pemeriksaan telah dilakukan ke atas lima bot serta menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tujuh individu.

“Hasil saringan yang dijalankan mendapati seorang individu telah positif dadah dan kemudiannya diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, operasi tersebut turut berdepan cabaran faktor cuaca apabila keadaan laut bergelora dan hujan berterusan, namun tidak menjejaskan komitmen pasukan di lapangan dalam memastikan keselamatan perairan terus terpelihara.

Selain ujian saringan dadah, Maritim Malaysia turut melaksanakan pemeriksaan aspek perundangan termasuk semakan dokumen, lesen dan permit pengoperasian bot, selaras dengan bidang kuasa agensi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang maritim yang berkuat kuasa.

“Operasi bersepadu sebegini akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa. Untuk tahun ini sahaja, Maritim Selangor telah melaksanakan dua operasi bersama AADK sebagai langkah pencegahan awal dan pendidikan kepada komuniti maritim,” ujarnya lagi.

Maritim Malaysia komited untuk terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam memerangi ancaman keselamatan, termasuk penyalahgunaan dadah yang boleh menjejaskan keselamatan pelayaran, kesejahteraan komuniti nelayan dan kedaulatan perairan negara.

OP BERSEPADU AADK2
 
OP BERSEPADU AADK3
 
OP BERSEPADU AADK4
 
OP BERSEPADU AADK5

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINYAK BERNILAI LEBIH RM75 RIBU

LAHAD DATU, 22 NOVEMBER – Sebanyak 1,530 paket minyak masak bersaiz satu kilogram dan 15 gelen minyak petrol berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu dalam satu operasi di perairan Felda Sahabat awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim DzulfikharAli berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan sebelum bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot mencurigakan pada pukul 5.30 pagi, kira-kira 0.16 batu nautika Tenggara Kampung Tandu Tungku.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot tersebut telah bertindak memecut laju dan mengubah haluan ke arah daratan berhampiran,”

“Suspek kemudiannya bertindak terjun ke laut dan melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa,” katanya.

Pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit membawa beberapa kotak minyak masak yang ditutup dengan canvas coklat dan beberapa gelen minyak petrol yang disorokkan dibawah kotak minyak masak.

Kesemua barang rampasan serta bot tersebut telah dibawa ke Jeti Pos Maritim FELDA Sahabat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati,sebanyak 1,530 minyak masak paket satu kilogram dan 15 gelen minyak petrol dianggarkan berjumlah dengan nilai keseluruhan minyak masak termasuk bot dianggarkan sebanyak RM75,2 40.00 berjaya dirampas.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu penyewelengan minyak masak dan petrol bersubsidi.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui aplikasi WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

SELUDUP MYK
 
SELUDUP MYK5
 
SELUDUP MYK4
 
SELUDUP MYK3

BEROPERASI TANPA NAKHODA YANG SAH, BOT PENUMPANG DITAHAN DI PERAIRAN BINTULU

BINTULU, 19 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot penumpang di kedudukan 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, Bintulu petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot penumpang berwarna putih yang sedang belayar menuju muara Sungai Kemena.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh dua kru warga tempatan, masing-msing berumur 22 tahun dan 50 tahun.

Bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477 (2), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu tidak melaporkan kepada pegawai Pelabuhan tentang pertukaran nakhoda, yang jika disabitkan boleh dikenakan denda atau kompaun.

Bot berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

 

TANPA NAKHODA BTL2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON