25
Sat, Jul

LAGI VESEL LANGGAR SYARAT LESEN DI TABAWAN, KUNAK

LAHAD DATU, 11 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu sekali lagi telah menahan dua vesel pukat jerut bilis secara berasingan di perairan Tabawan, Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, kedua-dua vesel berkenaan ditahan pada sekitar jam 3.30 petang di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP PLUTO TIMUR 2/2023 dan OP TIRIS 3.0.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, sebuah vesel pukat jerut bilis dikendalikan tiga warga tempatan berusia 21 hingga 33 tahun, manakala sebuah lagi vesel pukat jerut bilis dikendalikan seorang warga Filipina berusia 52 tahun dan dua warga tempatan berusia antara 24 hingga 44 tahun.

Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.

“Maritim Malaysia sentiasa komited memastikan aktiviti perikanan dilakukan mengikut undang-undang demi menjaga sumber marin negara,”

“Tindakan menahan bot yang melakukan kesalahan adalah langkah tegas bagi melindungi ekosistem perairan serta memastikan hak dan sumber nelayan pesisir pantai terpelihara,” katanya.

Kedua-dua vesel, serta kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia menyeru agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan melalui aplikasi whats app di talian 016-930 5727 atau 999 untuk maklum balas segera.

 

LAHAD DATU BILIS2

VESEL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN DI PERAIRAN BATU MAUNG, LANGGAR SYARAT SAH LESEN

PULAU PINANG, 11 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan timur Limbungan Batu Maung, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, tindakan itu diambil susulan beberapa aduan awam berhubung kegiatan nelayan yang dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan di bawah jarak dibenarkan.

“Hasil rondaan dan pemeriksaan visual, pasukan Maritim Malaysia mengesan sebuah VNT kelas C yang beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, iaitu melanggar syarat lesen yang ditetapkan,” jelas Muhammad Suffi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk seorang tekong berumur antara 49 hingga 65 tahun.

Menurut beliau lagi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen bagi vesel nelayan tempatan kelas C.

“Semua kru dan vesel terbabit ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan rondaan bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang serta lesen yang sah bagi melindungi sumber marin negara.


VESEL PNG2

MARITIM NEGERI PULAU PINANG TAHAN VESEL NELAYAN KELAS C, KRU DISYAKI MEMILIKI DADAH

PULAU PINANG, 10 NOVEMBER – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang selepas salah seorang krunya disyaki memiliki dadah jenis heroin dalam satu operasi awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, penahanan dilakukan pada sekitar jam 1.00 pagi di kedudukan 5.0 batu nautika selatan Pulau Kendi, Pulau Pinang.
Menurut beliau, bot penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP PERTIWI 2018 / OP TIRIS 3.0 2024 telah mengesan sebuah vesel yang sedang berapung di lokasi berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan tiga kru termasuk tekong, semuanya warga tempatan berusia antara 28 hingga 50 tahun. Pemeriksaan lanjut terhadap salah seorang kru berusia 50 tahun menemukan bahan disyaki dadah jenis heroin,” ujar beliau.
Tambahnya, kru berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan bersama dua lagi kru serta vesel terbabit bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah maritim termasuk penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti nelayan.

NELAYAN DDH

TRAGEDI BOT PATI KARAM, LAGI LIMA MAYAT DITEMUKAN HARI INI

LANGKAWI, 10 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand menemukan lima lagi mayat hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli bin Musrafa memaklumkan, penemuan pertama pada pukul 12.47 tengah hari apabila bot PERKASA 1226 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjumpai mayat seorang kanak-kanak lelaki kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua.

Beberapa minit kemudian, aset milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bot FCB 1331 pula menemukan mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis.

Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira tiga batu nautika barat laut Pulau Rebak Besar, sebelum dibawa ke jeti Harbour Park.

Seterusnya, pada 3.31 petang, aset KD LEDANG milik TLDM menemukan satu lagi mayat wanita, sebelum diserahkan kepada bot BENTENG 7 untuk dibawa ke jeti Maritim Malaysia.

Sementara itu, Bot PSC 20 Pasukan Polis Marin (PPM) turut menemukan mayat lelaki terapung di laut dan dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.

Sektor pencarian kini diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi, melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada Maritim Malaysia, TLDM, Pasukan Polis Marin, JBPM dan APM.

Operasi CARILAMAT ditangguhkan pada pukul 7.30 malam berikutan cuaca gelap dan laut bergelora, dan akan disambung semula awal pagi esok.

Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dan memohon kerjasama masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan pencarian mangsa.

CARILAMAT KINI3
 
CARILAMAT KINI2
 
CARILAMAT KINI4

PENCARIAN MANGSA BOT PATI KARAM DIPERLUAS HINGGA 255.66 BATU NAUTIKA PERSEGI

LANGKAWI, 10 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi hari ini bermula pada pukul 7.30 pagi selepas ditangguhkan petang semalam berikutan keadaan gelap dan faktor keselamatan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya menerima maklumat awal bahawa dianggarkan sekitar 70 orang berada di atas bot malang terbabit ketika kejadian berlaku. Anggaran itu diperoleh berdasarkan keterangan mangsa yang telah diselamatkan.

“Maritim Malaysia sebagai penyelaras operasi telah memperluaskan sektor pencarian berdasarkan analisis arus, angin serta unjuran lokasi kemungkinan mangsa hanyut,”

"Kawasan pencarian kini melibatkan pencarian permukaan laut serta tinjauan udara,” katanya lagi.

Bagi mempertingkatkan keupayaan operasi, pelbagai agensi keselamatan telah mengatur gerak aset masing-masing meliputi, Maritim Malaysia telah menggerakkan lima aset termasuk KM SIANGIN selaku On Scene Commander (OSC), bot BENTENG 7, Bot PETIR 81, Bot PERKASA 1226 serta pesawat Bombadier CL 415.

Turut terlibat, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dengan tiga aset iaitu PSC 20, RH 68 dan PLC 5, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan KD LEDANG dan FCB 1331. Jabatan Perikanan (DOF) pula menugaskan Bot DOF 2511, diikuti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan sebuah Bot Kevlar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui pengoperasian dua buah bot jenis RIB.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiada penemuan mangsa baharu dilaporkan. Namun, usaha pencarian akan terus dipergiat dengan kerjasama semua agensi penyelamat bagi mengesan mangsa yang masih hilang,” jelas Romli.

Beliau menegaskan bahawa perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa.



CARILAMAT TRS

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON