08
Tue, Sep

DUA BOT TUNDA DITAHAN BERSAUH TANPA KEBENARAN

MERSING, 8 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah menahan dua bot tunda berpendaftaran luar negara bersama tongkang ditahan pada kedudukan 0.4 batu nautika barat laut Pulau Besar sekitar pukul 11.00 malam, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, sebuah bot tunda bersama tongkang tersebut ditahan oleh pasukan peronda Maritim Malaysia ketika melaksana OP JAKSA / OP TIRIS 3.0.

Hasil pemeriksaan mendapati, dua bot tunda bersama tongkang disyaki telah melakukan kesalahan tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen pula mendapati, kesemua 17 kru daripada kedua-dua bot tunda tersebut disyaki warga Indonesia dalam lingkungan berumur 34 hingga 51 tahun termasuk Nakhoda. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Nakhoda dan semua kru ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM) bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

MERSING TAHAN3
 
MERSING TAHAN
 
MERSING TAHAN4

BOT KARGO DITAHAN DI BAWAH ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR DI PERAIRAN SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 8 JANUARI – Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan kira-kira 0.43 batu nautika barat Tanjung Harapan, semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dibuat pada sekitar pukul 2.20 petang oleh aset Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin OP EHSAN, dan OP TIRIS 3.0 di perairan Selangor.

“Bot tersebut yang membawa muatan kargo 26 tong yang berisi ikan campur ditahan untuk pemeriksaan. Hasilnya mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nahkoda berumur 35 tahun bersama seorang kru yang berumur 25 tahun, masing-masing adalah warga tempatan,” kata Muhaimin.

Hasil pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, lesen bot telah tamat tempoh. Bot bersama kru dan muatan tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana lesen bot telah tamat tempoh.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undangundang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.

KARGO SEL2
 
KARGO SEL3
 
KARGO SEL4
 
KARGO SEL5

VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS B DITAHAN CUBAAN BAWA KELUAR PATI

PELABUHAN KLANG, 6 JANUARI – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, atas pelbagai kesalahan termasuk cubaan membawa keluar migran secara haram tanpa melalui laluan yang diwartakan pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, hasil risikan yang dilakukan, vessel itu ditahan kira-kira pada pukul 5.00 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 2.5 batu nautika barat Sekinchan.

“Pemeriksaan awal mendapati, vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong, bersama tiga awak-awak dalam lingkungan umur 28 hingga 61 tahun, warganegara Indonesia yang tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Tambah Abdul Muhaimin lagi, hasil pemeriksaan lanjut anggota operasi ke atas vesel tersebut telah menemukan beg yang berisi pakaian milik salah seorang daripada mereka, berumur 29 tahun disyaki migran yang cuba diseludup keluar dari Malaysia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Tekong, tiga awak-awak, seorang migran, vesel dan beg berisi pakaian telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat mengikut dua akta utama iaitu Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta tiada dokumen pengenalan diri.

Kes ini juga akan disiasat dibawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM 2007) kerana melakukan penyeludupan Migran.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” tegas Abdul Muhaimin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-660665 untuk tindakan segera.

VESEL PATI KLANG2
 
VESEL PATI KLANG3
 
VESEL PATI KLANG4

OP CARILAMAT DIPERTINGKATKAN, SEORANG MANGSA BOT NELAYAN DITEMUI MENINGGAL DUNIA

BATU PAHAT, 6 JANUARI – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Batu Pahat, Johor pada Sabtu lalu, dipertingkatkan hari ini dengan peluasan kawasan pencarian sehingga 113 batu nautika persegi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi hari keempat yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) itu membawa kepada penemuan seorang mangsa pada pagi tadi.

“Sekitar pukul 9.00 pagi, mangsa dikenali sebagai Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan orang awam dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok di kawasan Sungai Burung Perpat,”

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail bagi tindakan lanjut,” tambah beliau.

Mohammad Zaini turut memaklumkan, operasi pencarian mangsa telah dimulakan seawal pukul 7.00 pagi dengan penglibatan enam aset laut milik Agensi

Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya lagi, usaha pencarian seorang lagi mangsa masih diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang telah dikenal pasti berdasarkan analisis arus dan keadaan semasa perairan.

CARILAMAT BP
 
CARILAMAT BP3
 
CARILAMAT BP4
 
CARILAMAT BP5

KM TATAU HANTAR BANTUAN BENCANA, BEKALAN PERUBATAN KE PULAU TIOMAN

KUANTAN, 6 JANUARI – Kapal Maritim (KM) TATAU milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang melaksanakan misi pelayaran ihsan bagi menghantar bantuan bencana serta bekalan perubatan ke Kampung Tekek, Pulau Tioman, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, misi yang bermula kira-kira puku 9.00 pagi itu bertujuan memastikan keperluan asas dan perubatan penduduk pulau terbabit dapat disalurkan susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, misi berkenaan dilaksanakan susulan permohonan rasmi daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rompin dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Rompin.

“Penghantaran bantuan melibatkan barangan keperluan bencana yang dibekalkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bekalan perubatan untuk kegunaan Klinik Kesihatan Tekek,” tambah beliau.

Mazlan turut berkata, antara bantuan yang dihantar termasuk barangan keperluan asas, bekalan makanan, tong oksigen serta kit makanan kering bagi kegunaan petugas kesihatan yang bertugas di Pulau Tioman.

Terdahulu beliau memaklumkan, Bot PERKASA 1246 yang sepatutnya digerakkan bersama KM TATAU terpaksa menangguhkan operasi, berikutan keadaan laut yang bergelora dan berisiko terhadap keselamatan kru.

Misi penghantaran bantuan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Johari Hussain, selain wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan APM.

Sementara itu, Mazlan menegaskan pelaksanaan misi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan agensi kerajaan dalam memastikan kebajikan komuniti pulau sentiasa terpelihara, khususnya ketika berdepan bencana dan keperluan perubatan mendesak.

KM TATAU selamat menamatkan operasi apabila tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 8.05 malam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

KM TATAU TIOMAN
 
KM TATAU TIOMAN4
 
KM TATAU TIOMAN5
 
KM TATAU TIOMAN5

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON