23
Thu, Apr

KAPAL MPMS BUATAN TURKIYE BAKAL JADI ASET BAHARU NEGARA

ISTANBUL, 22 MAC – Malaysia terus memperkukuh keselamatan perairan negara dengan termeterainya perjanjian perolehan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal ini berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye semalam, selaras dengan usaha meningkatkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman berkata, perolehan kapal bernilai USD68.8 juta ini adalah langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara, selain mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal.

“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.

“Kapal sepanjang 99-meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.

“Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan,” katanya.

Beliau menambah, apabila kapal ini siap dibina, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, terutama dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Terdahulu, majlis pemeteraian perjanjian ini adalah sebahagian daripada rentetan sesi pertukaran dokumen rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, TYT Recep Tayyip Erdoğan ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.

Selain majlis menandatangani SST ini, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard, bagi melihat keupayaan dan kemampuan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal.

Dengan perolehan MPMS ini, Maritim Malaysia yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara.

 

KAPAL TURKIYE
 
KAPAL TURKIYE3
 
KAPAL TURKIYE5
hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON