10
Wed, Jun

MARITIM MALAYSIA MANFAATKAN AISSE’25 TEROKA TEKNOLOGI KESELAMATN TERKINI

PUTRAJAYA, 20 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memanfaatkan Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) sebagai platform untuk meneroka dan memahami teknologi keselamatan maritim terkini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, langkah ini selaras dengan usaha Agensi dalam memperkukuhkan keupayaan pengawasan dan keselamatan perairan negara sebagaimana Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

Ujar beliau lagi, penyertaan ini juga seiring dengan Teras Tujuh yang diperkenalkan beliau iaitu ‘Penggunaan Teknologi’ dalam menjaga keselamatan perairan negara dengan lebih efektif.

“AISSE’25 adalah peluang terbaik untuk Maritim Malaysia mengakses teknologi keselamatan terkini, sekaligus meningkatkan keupayaan Agensi dalam memantau dan melindungi perairan negara,”

“Saya turut berharap AISSE’25 akan membentuk rangkaian strategik Maritim Malaysia yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan,” jelas Datuk Haji Mohd Rosli.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Perasmian AISSE’25 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi di sini hari ini.

Turut hadir sama Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman serta ketua-ketua jabatan di bawah KDN.

Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli turut menyahut hasrat Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya untuk melihat Malaysia terus berada dalam kelompok 10 negara paling aman di dunia.

Untuk itu jelas Datuk Haji Mohd Rosli, Maritim Malaysia akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama dengan agensi sahabat dalam memerangi aktiviti salah laku dan ancaman jenayah maritim di seluruh negara.

Selain persidangan, Maritim Malaysia turut menyertai pameran di reruai KDN dengan menampilkan aset milik Agensi seperti jetski dan Mobile Surveillance Unit (MSU). Selain itu, pengunjung pameran turut berpeluang merasai simulasi operasi penguatkuasaan maritim melalui aktiviti Virtual Reality (VR) yang menarik.

AISSE’25 yang berlangsung 20 hingga 22 Januari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menghimpunkan lebih 100 organisasi keselamatan, lebih 1,000 delegasi persidangan, dan 50 delegasi VIP dari lebih 20 negara.

Acara ini menjadi landasan penting untuk membincangkan isu-isu seperti keganasan, ekstremisme, penyeludupan, dan ancaman keselamatan siber.

 

AISSE DAY 1 2
 
AISSE DAY 1 3
 
AISSE DAY 1 4
 
AISSE DAY 1 5

MARITIM MALAYSIA BANTU BAWA MANGSA CEDERA BAHAGIAN MUKA KE HOSPITAL MERSING

MERSING, 18 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing telah melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) dengan membawa seorang pesakit yang tercedera pada bahagian muka ketika mengendalikan mesin pembancuh simen dari Pulau Rawa ke Jeti Zon Maritim Mersing pada pukul 10.00 malam tadi.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot ronda Maritim Malaysia PERKASA 44 yang sedang dalam rutin OP JAKSA / OP TIRIS 3.0 diarahkan ke lokasi bantuan setelah menerima aduan daripada majikan mangsa yang tercedera.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat, angin kuat dan laut yang bergelora, bantuan MEDEVAC tersebut telah berjaya membawa mangsa Albert Emmanuel Anak Akuang, 28, yang telah cedera pada bahagian muka dan mengalami pendarahan dari Pulau Rawa ke Jeti Zon Maritim Mersing pada pukul 11.00 malam hari yang sama.

Mangsa kemudiannya telah diserahkan kepada pihak Hospital Mersing dalam keadaan baik dan selamat.

Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa jua keadaan dalam memberi khidmat bakti kepada komuniti maritim setempat.

Sebarang aduan kecemasan dan aduan keselamatan di laut segera hubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.

 

BANTU MERSING
 
BANTU MERSING2
 
BANTU MERSING3
 
BANTU MERSING4

PROGRAM JEJAK LAKSAMANA : PENGIKTIRAFAN JASA DAN PENGORBANAN MANTAN KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 18 JANUARI  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan legasi kecemerlangannya melalui program bersejarah yang dinamakan Jejak Laksamana.

Program ini dianjurkan dibawah inisiatif Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah.

Jejak Laksamana ini menjadi simbol penghargaan mendalam terhadap kepimpinan, pengorbanan dan jasa luar biasa barisan mantan Ketua- ketua Pengarah sebelum ini yang pernah menerajui Maritim Msalaysia.

Dalam program itu, sesi kunjungan khas telah dilakukan ke ke atas tiga orang tokoh besar yang pernah menerajui Maritim Malaysia, antaranya Mantan Ketua Pengarah Pertama, Laksamana Maritim Dato' Mohamad bin Nik (Bersara), Mantan Ketua Pengarah Kedua, Laksamana Maritim Datuk Amdan bin Kurish (Bersara) ; dan Mantan Ketua Pengarah Keempat, Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili bin Abu Bakar (Bersara).

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menjelang sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Agensi yang ke -20, program ini sangat signifikan dan membawa mesej yang jelas iaitu sebagai penghargaan tertinggi kepada individu yang banyak berjasa khususnya mantan ketua-ketua Pengarah Maritim Malaysia.

“Program ini bukan sekadar kunjungan hormat dan ziarah tetapi sebagai satu pengiktirafan sejati kepada mereka yang menjadi tonggak kepada pembangunan Maritim Malaysia. Tanpa komitmen, visi dan misi para mantan Ketua-ketua Pengarah Maritim Malaysia, kita tidak akan berada di tahap ini sekarang,” katanya.

Sebagai simbolik kepada penghargaan ini, setiap Mantan Ketua Pengarah telah dianugerahkan gelaran Nakhoda Kehormatan sebagai mengabadikan jasa mereka ;  Gelaran Nakhoda Haluan diberikan kepada Laksamana Maritim Dato' Mohamad bin Nik (Bersara) atas asas sebagai perintis kepimpinan kepada penubuhan Maritim Malaysia, Nakhoda Strategik kepada Laksamana Maritim Datuk Amdan bin Kurish (Bersara) atas kebijaksanaan dan kepakaran dalam melakar hala tuju organisasi dan Nakhoda Pembangunan kepada Laksamana Maritim Dato’ Sri Zulkifili bin Abu Bakar (Bersara) atas peranan signifikan dalam pembangunan dan kemajuan organisasi.

Bagi mengukuhkan perpaduan dalam meneruskan legasi, Program Jejak Laksamana mencerminkan hubungan erat di antara kepimpinan terdahulu dan generasi masa kini. Pengiktirafan yang diberikan ini menunjukkan betapa pentingnya kesinambungan visi, misi dan usaha untuk menjadikan Maritim Malaysia sebuah badan Coast Guard yang disegani di persada dunia selari dengan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040.

Maritim Malaysia yang bakal memasuki usia Dua Dekad pada 15 Februari depan, akan terus membawa semangat kebersamaan, meningkatkan moral warga serta prestasi bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara. Maritim Malaysia akan terus progresif tanpa menoleh ke belkang lagi dan sentiasa bersiap sedia terhadap apa jua keadaan terutamanya ancaman keselamatan maritim yang lebih mencabar.

Dalam program ini juga, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli mengajak seluruh warga Maritim Malaysia untuk terus memperjuangkan visi dan misi organisasi demi keselamatan dan kedaulatan perairan negara tanpa kompromi.

JEJAK ADM
 
JEJAK ADM2
 
JEJAK ADM3

 

 

ZON MARITIM KUALA KURAU BANTERAS JENAYAH CURI KERANG

KUALA KURAU, 18 JANUARI – Rentetan dari aduan awam berkenaan kes kecurian kerang, Zon Maritim Kuala Kurau berjaya menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat hanyut kerana disyaki melakukan kesalahan mencuri kerang di 2.0 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Maritim Syuhadha binti Sharip berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Malaysia sedang melakukan kerja-kerja menangguk kerang dan didapati kegiatan berkenaan dilakukan tanpa lesen mengambil kerang dan beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

Tambah beliau, lelaki yang baru sahaja mula menangguk kerang di kawasan tersebut mengemukakan lesen yang telah tamat tempoh dan hasil pemeriksaan mendapati 10 kilogram kerang cuba dicuri oleh lelaki terbabit.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur kerang) 2002 iaitu lesen mengambil kerang tamat tempoh dan beroperasi di luar waktu yang ditetapkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia meminta agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

WhatsApp Image 2025 01 18 at 10.53.39 AM 1
 
WhatsApp Image 2025 01 18 at 10.53.39 AM
 
WhatsApp Image 2025 01 18 at 10.53.40 AM

BOT DUA KRU HILANG DI PERAIRAN PULAU UNDAN

PULAU UNDAN, 17 JANUARI - Sebuah bot gentian kaca bernombor pendaftaran MKF 3861 dengan warna coklat biru bersama dua nelayan dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abd Aziz memaklumkan, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden tersebut melalui kumpulan WhatsApp Sahabat Maritim pada jam 5.00 petang.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh majikan kedua-dua mangsa, tekong bot, Muarep bin Sakem, 63 tahun, bersama awak-awak, Rosenizam bin Maharam, 55 tahun, dilaporkan keluar memukat pada 15 Januari lalu dan kali terakhir mereka berhubung adalah pada pukul 10.00 pagi semalam bagi memaklumkan enjin bot yang digunakan mengalami kerosakan.

Berikutan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru segera mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 7.30 malam dengan mengatur gerak aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke lokasi kejadian untuk pencarian awal.

Sementara itu, bot-bot nelayan berhampiran turut membantu melakukan pencarian di kawasan sekitar, namun tiada sebarang petunjuk ditemui.

Operasi CARILAMAT diteruskan pada pagi ini dengan penglibatan seramai tujuh pegawai dan 49 anggota daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi ini telah melibatkan sebuah bot Maritim Malaysia, dua bot daripada Pasukan Polis Marin (PPM), sebuah bot Kevlar, serta dua bot aluminium milik JBPM. Kawasan pencarian meliputi lebih 548 kilometer persegi.

 

HILANG UNDAN6
 
 HILANG UNDAN3
 
HILANG UNDAN2
 
HILANG UNDAN7

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON