MERSING, 19 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bertindak pantas menyelamatkan seorang pelancong warga Jerman yang mengalami sesak nafas dan dikhuatiri mengalami serangan jantung di Pulau Tinggi, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin memaklumkan, pihaknya menerima permohonan bantuan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Mersing untuk membawa mangsa ke hospital selepas menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Tinggi.
“Susulan permohonan itu, bot peronda Maritim Malaysia, PERKASA 31 segera dikerahkan ke Pulau Tinggi bagi membawa pesakit ke daratan. Dua pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Mersing turut mengiringi pesakit bagi memastikan keadaan beliau stabil sepanjang perjalanan,” katanya lagi.
Mangsa, Siegrfried Ernst, 70, dipindahkan ke bot Maritim Malaysia sekitar pukul 10.00 pagi sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Mersing.
Perjalanan mengambil masa satu jam tiga puluh minit, dan sebaik tiba, pesakit segera dihantar ke Hospital Mersing menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya segera melaporkan sebarang insiden kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di talian 07-7982529 / 011-53226060, Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404, atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.













