LAHAD DATU, 26 FEBRUARI – Cubaan menyeludup keluar 24 batang kayu disyaki hasil curi gagal apabila dua bot berjaya dipintas dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Lahad Datu, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 malam itu, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 0.5 batu nautika tenggara muara Sungai Sepagaya.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berwarna merah jambu dan hijau itu dikesan ketika rondaan Op PLUTO TIMUR 2/2013 dan Op TIRIS 3.0 hasil maklumat risikan.
“Sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, kedua-dua bot memecut laju dan melarikan diri ke dalam paya bakau ,” katanya lagi.
Pemeriksaan lanjut menemukan empat batang kayu bakau dan 20 batang kayu potong di dalam kedua-dua bot berkenaan. Kesemua kayu dipercayai dibawa tanpa permit sah dan disyaki hasil curi.
Kes disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran serta Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki dan membawa barangan curi.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dianggarkan RM8 ribu. Kesemua kayu dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan sumber hutan dan jenayah maritim di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.










