23
Thu, Apr

LANGGAR SYARAT LESEN DUA BOT NELAYAN DITAHAN DI PERAIRAN SANDAKAN

SANDAKAN, 26 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, vesel pertama ditahan sekitar pukul 12.39 tengah malam selepas dikesan menunda pukat pada kedudukan kira-kira 1.79 batu nautika dari daratan berhampiran.

Bot berkenaan dikendalikan oleh empat orang nelayan warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 52 tahun.

Tangkapan kedua dilakukan sekitar pukul 12.46 tengah malam, apabila sebuah lagi VNT turut ditahan di lokasi berhampiran atas kesalahan yang sama.

Vesel tersebut dikendalikan oleh tiga orang nelayan terdiri daripada seorang warganegara tempatan, seorang warganegara Indonesia dan seorang lagi warganegara Filipina, kesemua yang ditahan berusia antara 24 hingga 36 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel tersebut telah melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," jelas beliau.

Kedua-dua vesel bersama kesemua yang ditahan serta tiga tan hasil tangkapan laut dianggarkan bernilai kira-kira RM312 ribu dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan untuk tindakan segera.

LESEN SANDAKAN

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON