08
Tue, Sep

CUBAAN SELUDUP MINYAK KE NEGARA JIRAN, WARGA THAILAND DITAHAN

KUALA PERLIS, 26 OGOS – Cubaan seorang tekong warga Thailand menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran gagal apabila bot kayu yang dikendalikannya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot asing tanpa nombor pendaftaran pada jarak 0.32 batu nautika dari barat Pulau Ketam selepas menerima maklumat risikan ketika rondaan Operasi Aman (Op Aman) dan Operasi Tiris (Op Tiris) dilaksanakan.

“Hasil pemeriksaan awal, suspek mendakwa hanya membawa tong kosong, namun pemeriksaan lanjut menemukan 20 tong berisi petrol dianggarkan 450 liter,” katanya.

Beliau berkata, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong berusia 25 tahun dari Thailand dan dipercayai cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa dokumen sah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan minyak dianggarkan lebih RM17 ribu Suspek bersama hasil tangkapan dibawa ke Jeti Operasi Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai menyalurkan maklumat segera berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 / 04-9851162 atau talian kecemasan 999.

 

SELUDUP MINYAK
 
SELUDUP MINYAK2
 
SELUDUP MINYAK4

KAPAL DAGANG BERSAUH TANPA KEBENARAN DITAHAN MARITIM NEGERI PERAK

LUMUT, 25 OGOS – Sebuah kapal dagang yang berdaftar di Monrovia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Jarak, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal tersebut ditahan pada pukul 5.50 petang di kedudukan 13 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan negara,” jelasnya.

Kapal dagang yang dikendalikan 23 kru warga Pakistan, India, Rusia, Ukraine, Filipina dan Sri Lanka itu bagaimanapun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dalam operasi berasingan, Maritim Negeri Perak turut merampas 25 set bubu naga lengkap dengan bendera dan pelampung yang dipasang pada kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Pulau Talang, sekitar 9.00 pagi semalam.

“Bubu naga merupakan alat menangkap ikan yang dilarang penggunaannya kerana boleh mengancam ekosistem laut. Pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.

KAPAL BERSAUH2
 
KAPAL DAGANG BUBU

MARITIM MALAYSIA TEMUKAN 42 BUNGKUSAN DISYAKI DADAH DALAM BOT HANYUT

KOTA KINABALU, 19 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menemukan 42 bungkusan mencurigakan disyaki dadah selepas menerima serahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang hanyut berhampiran kawasan perairan Stesen PAPA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan awal dilakukan anggota TLDM di atas bot berkenaan menemukan tiga bungkusan mencurigakan yang disorok di bahagian bilges (bahagian bawah dalam lambung kapal).

Setiba bot itu di Jeti Maritim Malaysia Sepanggar, pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Forensik dan Seksyen Siasatan Jenayah Maritim yang dilakukan telah menemukan sebanyak 39 lagi bungkusan yang disembunyikan di dalam tangki penyimpanan air, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 42 bungkusan kesemuanya.

“Kesemua bungkusan berkenaan dipercayai mengandungi bahan terlarang disyaki dadah dan sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Maritim Malaysia menegaskan, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan manakala komuniti maritim diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan segera.

 

BOT HANYUT DADAH2

MEDEVAC KANAK-KANAK ALAMI JANGKITAN PARU-PARU DIBAWA KE ROMPIN

KUANTAN, 25 OGOS – Maritim Negeri Pahang melalui Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah melaksanakan bantuan pemindahan (MEDEVAC) seorang pesakit kanak-kanak perempuan dari Pulau Tioman ke Hospital Rompin selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, MRSC Kuantan menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.20 petang daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, yang memohon bantuan bagi membawa pesakit berusia dua tahun berkenaan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Sejurus menerima panggilan, aset Maritim Malaysia, iaitu bot PENGGALANG 14, telah diaturgerakkan ke Jeti Marina Tekek bagi membawa pesakit bersama pengiring.

Menurut beliau, pesakit dikenali sebagai Nur Zafirah Aina binti Mohamad Hanafia disahkan mengalami bronchopneumonia with bronchospasm serta memerlukan bantuan oksigen.

Pesakit ditemani jururawat Klinik Kesihatan Tekek, manakala ibu kandungnya turut hadir sebagai waris.

bot PENGGALANG 14 berlepas dari Jeti Marina Tekek pada pukul 8.45 malam dan tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 10.20 malam. Pesakit kemudiannya dibawa dengan ambulans ke Hospital Rompin untuk tindakan rawatan lanjut.

 

ROMPIN MEDEVAC
 
ROMPIN MEDEVAC2

MARITIM MALAYSIA LUPUS DADAH BERNILAI LEBIH RM1 JUTA

PELABUHAN KLANG, 19 OGOS – Dadah seberat 56 kilogram bernilai lebih RM1 juta telah berjaya dilupuskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dengan kerjasama Cenviro Sdn. Bhd. Di Port Dickson, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, pelupusan dadah yang terdiri dari jenis Heroin, Methamphetamine, ubat batuk dan ketum ini dilaksanakan selepas Maritim Negeri Selangor menerima perintah rasmi Mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

Beliau turut berkata, dadah-dadah tersebut adalah hasil rampasan yang dilakukan oleh Maritim Negeri Selangor pada tahun 2021, 2023 dan 2024.

“Proses pelupusan dadah ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator yang diuruskan oleh Cenviro Sdn. Bhd. ,”

“Kaedah ini telah dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah yang dirampas tanpa mencemari alam sekitar,” jelas Abdul Muhaimin

Sebelum proses pelupusan, kesemua yang hadir diberi taklimat dan penerangan ringkas berkenaan proses pelupusan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Selangor, Nurul Ezan binti Mahat dan Penolong Pengarah Kanan Maritim Negeri Selangor, Triveinei A/P Sundaram.

Sementara itu, Abdul Muhaimin turut menegaskan pihaknya akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Negeri Selangor khususnya di lokasi titik panas (hotspot) yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah di laut.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Cenviro Sdn. Bhd kerana menjayakan program pelupusan dadah pada kali ini.

 

WhatsApp Image 2025 08 19 at 6.24.48 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 08 19 at 6.24.47 PM 1
 
WhatsApp Image 2025 08 19 at 6.24.46 PM
 
WhatsApp Image 2025 08 19 at 6.24.45 PM

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON