08
Tue, Sep

KAPAL EX-USCG CUTTER STEADFAST KINI RASMI MILIK MARITIM MALAYSIA, PERKUKUH KESELAMATAN PERAIRAN NEGARA

BALTIMORE, 6 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah baharu apabila menerima secara rasmi kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast dalam satu majlis penuh istiadat di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Amerika Syarikat hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan detik bersejarah apabila Deputy Chief Acquisition Officer and Director of Domain & Integration Services USCG, Mr James Knight, menandatangani Certificate of Transfer dan menyerahkan Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman.

Turut hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bin Yaakob, Pengarah Bahagian Risikan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi bin Othman dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah,

Dalam ucapannya, Mr James Knight berkata, kapal yang diserahkan merupakan kapal yang ditauliahkan pada 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang selama 56 tahun.

Menurutnya lagi, kehadiran kapal ini dalam armada Maritim Malaysia diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara.

Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli menzahirkan ucapan tahniah kepada semua kru yang berjaya menamatkan latihan dengan penuh komited dan dedikasi.

Beliau menyifatkan penerimaan Ex-USCG Cutter Steadfast sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama erat Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya antara Maritim Malaysia dan USCG.

Beliau turut memaklumkan, kapal ini bakal memulakan pelayaran pertamanya dengan kru baharu yang bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia iaitu dengan merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi.

Datuk Haji Mohd Rosli menambah, aset baharu ini diharap akan meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan zon maritim negara, selain memperluas ruang kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti.

Terdahulu seramai 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia menerima Sijil Tamat Latihan selepas berjaya menamatkan program intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC).

KM BENDAHARA RASMI2
 
KM BENDAHARA RASMI3
 
KM BENDAHARA RASMI

CARILAMAT NELAYAN HILANG DI BETING YU HARI KETIGA, SATU JASAD DITEMUKAN

KABONG, 6 SEPTEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar menangkap ikan di Perairan Beting Yu memasuki hari ketiga hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos anak Juing berkata, sekitar pukul 10.00 pagi tadi sebuah bot nelayan yang turut serta dalam pencarian menemui satu jasad disyaki mangsa di lokasi kira-kira 3.7 batu nautika barat Tanjung Kembang.

“Jasad tersebut dibawa ke Jeti Kabong oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengecaman di Klinik Kesihatan Kabong,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, pengecaman awal oleh ahli keluarga tidak dapat mengesahkan identiti mangsa berkenaan. Jasad itu kemudian dihantar ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, operasi pencarian diteruskan melibatkan aset Maritim Malaysia, PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta bantuan nelayan tempatan.

 

CARILAMAT KABONG2
 
CARILAMAT KABONG4
 
CARILAMAT KABONG5
 
CARILAMAT KABONG6

BOT PANCUNG MIGRAN DITAHAN, DUA WARGA ASING CUBA BOLOS MASUK MALAYSIA

PELABUHAN KLANG, 5 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran bersama dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba menyusul masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi semalam di kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib.

Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan melalui OP KHAS JALUR BELAKANG hasil maklumatrisikan dan bantuan daripada Area Control Centre (ACC) Klang.

“Kira-kira pukul 12.00 tengah malam, ACC mengesan sebuah bot mencurigakan. BOT ronda MaritimMalaysia diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan. Bot terbabit terus memecut dan berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit,” katanya.

Bot berkenaan akhirnya terkandas di kawasan paya bakau Morib sebelum pemeriksaan dijalankan. Tiada kru ditemukan di atas bot, namun hasil pencarian di kawasan sekitar pasukan operasi berjaya menemukan dua lelaki warga Indonesia berusia 22 dan 33 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-duanya dipercayai cuba masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya.

Bot dan kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelumdiserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat atau aduan berkaitanjenayah serta kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera

 

BOLOS MALAYSIA
 
BOLOS MALAYSIA3

EXUSCG CUTTER STEADFAST LULUS LATIHAN FASA LAUT

BALTIMORE, 5 SEPTEMBER – Kru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ditempatkan di kapal Ex United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast berjaya menamatkan siri latihan fasa laut (Sea Training) kendalian USCG di perairan Chesapeake Bay, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan mereka dalam mengendalikan aset baharu negara.

Pegawai Memerintah Ex-USCG Cutter Steadfast, Komander Maritim Mohd Fahimi bin Omar memaklumkan, latihan berkenaan telah bermula pada 21 Ogos lalu dengan pelayaran pertama yang dikendalikan staf Cutter Transition Division (CTD) dan Surface Acquisitions Logistic Center (SALC) USCG.

Fokus utama latihan ini jelas beliau, adalah bagi memberikan pendedahan pengendalian kejuruteraan dan peralatan kapal. Dalam latihan berkenaan, kru dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan dan operasi serta pentadbiran dan bekalan dengan bimbingan secara langsung daripada anggota USCG berpengalaman.

Antara modul yang dilaksanakan termasuk tatacara pemindahan janakuasa, menghidupkan jentera utama, serta penggunaan peralatan navigasi di anjungan. Semasa pelayaran, kru turut dilatih keluar masuk pelabuhan, penggunaan sistem navigasi seperti radar dan ECDIS, selain latihan bersauh.

Pelayaran kedua telah dilaksanakan pada 25 Ogos menyaksikan kru diberi peluang mengendalikan sendiri peralatan kapal, manakala USCG bertindak sebagai pemerhati dan penasihat.

Kemuncaknya adalah pada 28 Ogos, iaitu pelayaran terakhir yang menjadi ujian penilaian penuh sebelum kru ditauliahkan. Latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden, malah kesemua seksyen lulus dengan cemerlang.

Wakil USCG menyatakan kepuasan hati terhadap prestasi kru Maritim Malaysia yang dianggap mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Semua kru akan menerima sijil tamat latihan semasa Majlis Penyerahan Kapal Ex USCG Cutter Steadfast yang dijadualkan berlangsung pada 5 September 2025 di Waterfront Operations Training Center (WOTC), Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat.

Kejayaan ini sekali gus menandakan kapal berkenaan bersedia untuk digerakkan sebagai aset maritim baharu negara.

 

KM BENDAHARA3
 
KM BENDAHARA5
 
KM BENDAHARA6

PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL LANGGAR UNDANG-UNDANG PERKAPALAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA TERENGGANU, 4 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Terengganu telah menahan dua buah bot bersama sebuah platform yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dalam satu operasi penguatkuasaan Operasi Iman, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan bersama sebuah platform yang ditunda pada jarak lebih kurang 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong sekitar jam 6 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta diatasnya, manakala sebuah lagi bot yang mengiringi aktiviti penundaan tersebut didapati beroperasi tanpa mempunyai lesen sah oleh Jabatan Laut,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, platform tersebut dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan apabila dijadikan lokasi penggambaran oleh seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang diletakkan di atas platform terapung berkenaan. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain.

Menurut beliau, kedua-dua bot terbabit didapati membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang masing-masing. Kesemua yang ditahan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang, kesemuanya warga tempatan.

“Kesemua bot, kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2.00 pagi hari ini untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya lagi.

Kepten Maritim Hamiludin menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa serius dalam memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.

“Maritim Malaysia menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mestilah dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” tambah beliau.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu supaya segera menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

 

INFLUENCER LANGGAR2
 
INFLUENCER LANGGAR3
 
INFLUENCER LANGGAR4

 

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON