23
Thu, Apr

PENCARIAN MANGSA BOT PATI KARAM DIPERLUAS HINGGA 255.66 BATU NAUTIKA PERSEGI

LANGKAWI, 10 NOVEMBER – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi hari ini bermula pada pukul 7.30 pagi selepas ditangguhkan petang semalam berikutan keadaan gelap dan faktor keselamatan.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya menerima maklumat awal bahawa dianggarkan sekitar 70 orang berada di atas bot malang terbabit ketika kejadian berlaku. Anggaran itu diperoleh berdasarkan keterangan mangsa yang telah diselamatkan.

“Maritim Malaysia sebagai penyelaras operasi telah memperluaskan sektor pencarian berdasarkan analisis arus, angin serta unjuran lokasi kemungkinan mangsa hanyut,”

"Kawasan pencarian kini melibatkan pencarian permukaan laut serta tinjauan udara,” katanya lagi.

Bagi mempertingkatkan keupayaan operasi, pelbagai agensi keselamatan telah mengatur gerak aset masing-masing meliputi, Maritim Malaysia telah menggerakkan lima aset termasuk KM SIANGIN selaku On Scene Commander (OSC), bot BENTENG 7, Bot PETIR 81, Bot PERKASA 1226 serta pesawat Bombadier CL 415.

Turut terlibat, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 dengan tiga aset iaitu PSC 20, RH 68 dan PLC 5, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan KD LEDANG dan FCB 1331. Jabatan Perikanan (DOF) pula menugaskan Bot DOF 2511, diikuti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan sebuah Bot Kevlar serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui pengoperasian dua buah bot jenis RIB.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiada penemuan mangsa baharu dilaporkan. Namun, usaha pencarian akan terus dipergiat dengan kerjasama semua agensi penyelamat bagi mengesan mangsa yang masih hilang,” jelas Romli.

Beliau menegaskan bahawa perkembangan lanjut operasi akan dimaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa.



CARILAMAT TRS

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON