LAHAD DATU, 11 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu sekali lagi telah menahan dua vesel pukat jerut bilis secara berasingan di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, kedua-dua vesel berkenaan ditahan pada sekitar jam 3.30 petang di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP PLUTO TIMUR 2/2023 dan OP TIRIS 3.0.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, sebuah vesel pukat jerut bilis dikendalikan tiga warga tempatan berusia 21 hingga 33 tahun, manakala sebuah lagi vesel pukat jerut bilis dikendalikan seorang warga Filipina berusia 52 tahun dan dua warga tempatan berusia antara 24 hingga 44 tahun.
Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.
“Maritim Malaysia sentiasa komited memastikan aktiviti perikanan dilakukan mengikut undang-undang demi menjaga sumber marin negara,”
“Tindakan menahan bot yang melakukan kesalahan adalah langkah tegas bagi melindungi ekosistem perairan serta memastikan hak dan sumber nelayan pesisir pantai terpelihara,” katanya.
Kedua-dua vesel, serta kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menyeru agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan melalui aplikasi whats app di talian 016-930 5727 atau 999 untuk maklum balas segera.










