01
Mon, Jun

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT TUNDA KELAS B LANGGAR UNDANG-UNDANG PERIKANAN DAN IMIGRESEN

LUMUT, 2 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas B dalam Op PINTAS 1/2021 dan Op KHAS PAGAR LAUT atas beberapa kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.56 batu nautika barat laut Sungai Tiang, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan telah dibuat aset Maritim Malaysia kira-kira pukul 4.17 petang dan pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana memukat kurang daripada lima batu nautika dari pantai, tidak diusahakan sendiri oleh pemegang lesen, menggunakan kru warga asing serta gagal mengemukakan buku lesen semasa pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, berlaku kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 apabila kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Vesel ini dikendalikan oleh seorang tekong warga Indonesia dan seorang awak-awak warga Myanmar,” jelas beliau.

Vesel dan kru kemudian diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang maritim, seterusnya memastikan keselamatan, kedaulatan, dan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.

TUNDA LUMUT2
 
TUNDA LUMUT3

CUBAAN SELUDUP 37 PATI DIGAGALKAN, TEKONG WARGA THAILAND ANTARA DITAHAN

ALOR SETAR, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi risikan bersepadu di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Sayak pukul 5.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, operasi yang dilaksanakan ini melibatkan kerjasama strategik antara Unit Risikan Maritim Negeri Kedah & Perlis, Maritim Negeri Pulau Pinang, Zon Maritim Kuala Kedah, Zon Maritim Kuala Perlis bersama Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Pulau Pinang.

Tambah Romli, bertindak atas maklumat risikan, bot ronda milik Maritim Malaysia dan PPM telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki membawa PATI dari arah Yan menuju ke daratan berhampiran Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.

Beliau turut berkata, menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan cuba merapat ke persisiran pantai Pulau Sayak untuk kesemua individu di dalamnya cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan 37 individu terdiri 32 warga Myanmar, tiga warga Bangladesh serta dua lelaki warga Thailand dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot telah ditahan,” katanya lagi.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan melibatkan 36 lelaki dewasa berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Dalam operasi yang sama, pihak berkuasa turut menemukan tiga kenderaan terdiri dua buah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki digunakan untuk membawa keluar PATI dari lokasi pendaratan.

Jelas Romli lagi, kesemua tangkapan bersama bot dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM215 ribu dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Tegas Romli, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi risikan dan rondaan bersepadu bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran serta sindiket rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di 04-9662750 untuk tindakan segera.

TEKONG THAI6
 
TEKONG THAI5
 
TEKONG THAI4
 
TEKONG THAI2

DUA BOT BERSAMA 1,870 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

SANDAKAN, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua buah bot dalam satu operasi di perairan Kampung Bokara Lama, Sandakan awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Mengulas kejadian tersebut beliau berkata, anggota penguat kuasa telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot berkenaan menemukan sejumlah 1,870 paket minyak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan tanpa permit yang sah

Kedua-dua bot dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot beserta enjin dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50 ribu.

Sementara itu Muhamad Suhairy turut berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera.



MINYAK SANDAKAN2

LANGGAR SYARAT LESEN, BOT NELAYAN DITAHAN DI PERAIRAN TANJUNG PAYUNG

BINTULU, 1 MAC - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) di kedudukan 1.6 batu nautika Barat Laut Tanjung Payung sekitar pukul 8.15 pagi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan OP TIRIS 3.0, OP PERMAI 01/2019 dan OP PELANTAR MERAH 03/2023 telah melakukan pemeriksaan terhadap sebuah VNT yang sedang menangkap ikan di sekitar Tanjung Payung.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel nelayan tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk nakhoda yang berumur di antara 21 tahun hingga 52 tahun,” katanya.

Vesel tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari tujuh batu nautika seperti yang telah ditetapkan dalam syarat lesen.

“Jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel akan dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.

Vesel berserta kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan ke laut bagi mengelak serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.

Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.

LANGGAR BINTULU2
 
LANGGAR BINTULU3

KAPAL KARGO TEMPATAN GAGAL KEMUKA DOKUMEN DITAHAN

MIRI, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal kargo tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kapal berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia sekitar pukul 5.05 petang semalam di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat laut Kuala Lawas.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan, yang merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru, terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan empat warga Myanmar, yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 56 tahun,” katanya.

Tambah beliau, susulan kesalahan yang dikesan, perintah tahanan telah dikeluarkan dan master bersama seorang kru telah diiring kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memastikan komuniti maritim mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 untuk tindakan segera.

MIRI KARGO2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON