04
Wed, Mar

DUA BOT BERSAMA 1,870 PAKET MINYAK MASAK BERSUBSIDI DIRAMPAS

SANDAKAN, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak bersubsidi menerusi penahanan dua buah bot dalam satu operasi di perairan Kampung Bokara Lama, Sandakan awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Mengulas kejadian tersebut beliau berkata, anggota penguat kuasa telah mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menghampiri untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri ke kawasan berhampiran dan meninggalkan kedua-dua bot tersebut,” katanya lagi.

Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot berkenaan menemukan sejumlah 1,870 paket minyak yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan penyeludupan barang kawalan tanpa permit yang sah

Kedua-dua bot dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.

Jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot beserta enjin dan minyak masak dianggarkan bernilai lebih RM50 ribu.

Sementara itu Muhamad Suhairy turut berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera.



MINYAK SANDAKAN2

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON