ALOR SETAR, 1 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi risikan bersepadu di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Pulau Sayak pukul 5.30 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, operasi yang dilaksanakan ini melibatkan kerjasama strategik antara Unit Risikan Maritim Negeri Kedah & Perlis, Maritim Negeri Pulau Pinang, Zon Maritim Kuala Kedah, Zon Maritim Kuala Perlis bersama Unit Risik Marin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Pulau Pinang.
Tambah Romli, bertindak atas maklumat risikan, bot ronda milik Maritim Malaysia dan PPM telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang disyaki membawa PATI dari arah Yan menuju ke daratan berhampiran Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.
Beliau turut berkata, menyedari kehadiran penguat kuasa, bot berkenaan cuba merapat ke persisiran pantai Pulau Sayak untuk kesemua individu di dalamnya cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Tindakan pantas pasukan operasi berjaya menahan 37 individu terdiri 32 warga Myanmar, tiga warga Bangladesh serta dua lelaki warga Thailand dipercayai bertindak sebagai tekong dan kru bot telah ditahan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan melibatkan 36 lelaki dewasa berusia antara 15 hingga 47 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Dalam operasi yang sama, pihak berkuasa turut menemukan tiga kenderaan terdiri dua buah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki digunakan untuk membawa keluar PATI dari lokasi pendaratan.
Jelas Romli lagi, kesemua tangkapan bersama bot dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM215 ribu dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Tegas Romli, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh operasi risikan dan rondaan bersepadu bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran serta sindiket rentas sempadan yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di 04-9662750 untuk tindakan segera.













