01
Mon, Jun

VESEL PUKAT JERUT DITAHAN MENANGKAP IKAN TERLALU HAMPIR DENGAN DARATAN

LUMUT, 9 MAC – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C ditahan Maritim Negeri Perak kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan terlalu hampir dengan daratan dalam satu operasi di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira pukul 6.40 pagi oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan di bawah Op SAYONG 1/2018, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op KHAS PAGAR LAUT.

Kata beliau, vesel yang menggunakan peralatan menangkap ikan jenis pukat jerut itu ditahan pada kedudukan kira-kira 2.15 batu nautika barat daya Pulau Buloh selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Vesel berkenaan dipercayai menangkap ikan kurang daripada jarak 15 batu nautika dari daratan terhampir, yang merupakan satu kesalahan di bawah syarat lesen vesel perikanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama 23 awak-awak warga Thailand,” katanya.

Tambah beliau, Pemeriksaan berkenaan turut menemukan kira-kira 250 kilogram ikan campur yang dipercayai hasil tangkapan di kawasan berkenaan. Kesemua kru bersama vesel tersebut diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perikanan negara. Aktiviti menangkap ikan terlalu hampir dengan kawasan daratan bukan sahaja melanggar syarat lesen, malah boleh menjejaskan sumber perikanan serta memberi kesan kepada nelayan kecil yang bergantung kepada hasil laut di kawasan pesisir pantai.

Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi sumber perikanan negara.

PUKAT JERUT
 
PUKAT JERUT4
 
PUKAT JERUT3

BANTUAN ASET MARITIM MALAYSIA - INSIDEN KAPAL LAYAR TERKANDAS DI PERAIRAN LANGKAWI

LANGKAWI, 3 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak aset susulan laporan sebuah kapal layar yang dilaporkan terkandas di perairan Tanjung Chincin, Langkawi, pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, MRSC Langkawi telah menerima maklumat daripada petugas ACC Langkawi pada pukul 9.15 pagi berhubung kejadian tersebut berhampiran pesisir Tanjung Chincin.

“Sejurus menerima maklumat, Bot PENGGALANG 11 telah diatur gerak ke lokasi untuk melaksanakan penilaian situasi serta tindakan lanjut,” ujarnya.

Hasil pemantauan mendapati, seorang lelaki warga Australia dikenali sebagai Christopher John, 70 tahun berada dalam keadaan selamat selepas berjaya diselamatkan oleh sebuah kapal layar persendirian, Gadis Pulao, yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya dibawa ke The Datai Langkawi dan beliau disahkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Sementara itu, MRSC Langkawi turut menghubungi Pusat Kawalan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Langkawi bagi memaklumkan insiden tersebut untuk tindakan selanjutnya, termasuk pengeluaran Notis Pelayaran (NAVEX) sebagai langkah keselamatan navigasi kepada komuniti maritim.

Bantuan aset ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari dan Bot PENGGALANG 11 meneruskan rondaan rutin di kawasan tanggungjawab.

Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa memantau keadaan cuaca serta memastikan vesel berada dalam keadaan selamat sebelum berlayar, terutama ketika keadaan angin dan ombak yang tidak menentu.

Sekiranya terdapat sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai diminta melaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 untuk tindakan segera.

BANTUAN LGK2
 
BANTUAN LGK4
 
BANTUAN LGK3

VESEL TUNDA DISYAKI LANGGAR ORDINAN PERKAPALAN SAUDAGAR 1952 DITAHAN MARITIM MALAYSIA

LUMUT, 3 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah vesel tunda dalam satu operasi rondaan rutin pada pukul 1.13 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob memaklumkan, vesel tunda tersebut ditahan kapal Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika barat Pulau Pangkor semasa menjalankan rondaan penguatkuasaan di perairan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, antaranya gagal mempamerkan insurans kapal, gagal mengemukakan dokumen pendaftaran kapal, tidak mempunyai Official Log Book semasa pemeriksaan serta tidak menyimpan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) yang sah di atas kapal,” jelas beliau.

Beliau turut berkata, vesel berkenaan dikendalikan oleh enam kru terdiri daripada seorang warganegara Malaysia dan lima warganegara Indonesia.

Vesel bersama enam kru telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Shukri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang dan peraturan perkapalan negara.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan khususnya di perairan Negeri Perak bagi memastikan semua vesel mematuhi keperluan dokumentasi dan perundangan yang telah ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi peraturan bukan sahaja satu kesalahan, malah boleh menjejaskan aspek keselamatan pelayaran,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pemilik dan pengendali vesel supaya sentiasa memastikan dokumen kapal lengkap, sah dan disimpan di atas kapal pada setiap masa bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

MSO LUMUT2
 
MSO LUMUT3

VESEL TUNDA GAGAL KEMUKA DOKUMEN, DITAHAN DI PERAIRAN MIRI

MIRI, 3 MAC — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah vesel tunda dalam satu operasi penguatkuasaan maritim di perairan Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad memaklumkan, tangkapan tersebut dilakukan oleh aset Maritim Malaysia kira-kira pada pukul 2.30 petang di kedudukan lebih kurang 2.4 batu nautika barat Sungai Miri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tunda terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan stabiliti kapal semasa pemeriksaan dijalankan,” jelas beliau.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati vesel itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lapan kru, kesemuanya warga Indonesia masing-masing berusia 25 hingga 58 tahun.

Vesel tersebut kemudiannya diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel dan tiba kira-kira pada pukul 4.00 petang dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Pemilik dan pengendali vesel diingatkan supaya memastikan semua dokumen berkaitan kapal sentiasa lengkap dan sah sebelum beroperasi.

“Kegagalan mematuhi keperluan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pelayaran serta nyawa kru,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Miri melalui talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 082-432544 / 082 432016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

MIRI TUNDA4
 
MIRI TUNDA3

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT TUNDA KELAS B LANGGAR UNDANG-UNDANG PERIKANAN DAN IMIGRESEN

LUMUT, 2 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah vesel pukat tunda Kelas B dalam Op PINTAS 1/2021 dan Op KHAS PAGAR LAUT atas beberapa kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.56 batu nautika barat laut Sungai Tiang, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan telah dibuat aset Maritim Malaysia kira-kira pukul 4.17 petang dan pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 kerana memukat kurang daripada lima batu nautika dari pantai, tidak diusahakan sendiri oleh pemegang lesen, menggunakan kru warga asing serta gagal mengemukakan buku lesen semasa pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, berlaku kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 apabila kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Vesel ini dikendalikan oleh seorang tekong warga Indonesia dan seorang awak-awak warga Myanmar,” jelas beliau.

Vesel dan kru kemudian diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang maritim, seterusnya memastikan keselamatan, kedaulatan, dan sumber perikanan negara sentiasa terpelihara.

TUNDA LUMUT2
 
TUNDA LUMUT3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON