PUTRAJAYA, 6 Oktober – Kesejahteraan psikologi warga perkhidmatan terus diberi perhatian menerusi penyertaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam Seminar Psikologi Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari, bermula 6 hingga 7 Oktober 2026, menjadi platform perkongsian ilmu dan kesedaran berkaitan aspek psikologi, pengurusan emosi serta daya tahan mental dalam kalangan warga KDN dan agensi di bawahnya.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah turut menghadiri Majlis Perasmian seminar yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KDN, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman.
Penganjuran seminar oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KDN ini turut memberi ruang kepada warga perkhidmatan untuk memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam mengurus tekanan dan menghadapi cabaran di tempat kerja secara lebih berkesan.
Bagi Maritim Malaysia, kesejahteraan psikologi merupakan elemen penting dalam menyokong kesiapsiagaan warga kerja, khususnya dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan, keselamatan dan penyelamatan yang menuntut ketahanan fizikal serta mental.
Penyertaan dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkasakan kesejahteraan warga kerja, sekali gus menyokong pembentukan persekitaran kerja yang positif, harmoni dan produktif serta memastikan warga Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negara.













.svg.png)

