KUALA LINGGI, 2 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mematahkan cubaan tiga warga Indonesia, termasuk seorang tekong, memasuki Malaysia melalui laluan laut tidak diwartakan dalam operasi di perairan Melaka pada 25 September lalu.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 46 hingga 48 tahun itu ditahan selepas aset Maritim Malaysia mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.1 batu nautika tenggara Pulau Konet, pada pukul 3.30 pagi.
“Bot berkenaan telah diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, namun tekong bertindak memecut sebelum berjaya dipintas oleh pasukan operasi. Pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan susulan di kawasan pantai berhampiran Pulau Konet pada pukul 3 petang menemukan satu bungkusan teh Cina yang mengandungi bahan berbentuk hablur kristal disyaki dadah jenis syabu, dianggarkan bernilai hampir RM55,000. Bungkusan itu ditemukan kira-kira 40 meter dari pantai dan dipercayai berkaitan dengan aktiviti pengambilan individu oleh sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia.
Kesemua suspek, bot serta bahan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut. Kes penahanan warga Indonesia disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, manakala bahan disyaki dadah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut. Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan, risikan dan pemantauan di kawasan berisiko bagi membanteras penyeludupan migran, barangan terlarang serta pencerobohan sempadan perairan negara.













.svg.png)

