PELABUHAN KLANG, 1 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang disyaki melanggar syarat lesen selepas menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dalam operasi di perairan Sabak Bernam, awal pagi tadi.
Vesel berkenaan ditahan oleh Kapal Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sabak Bernam, pada pukul 2.50 pagi ketika dalam perjalanan masuk ke Pangkalan Sungai Besar.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan tersebut dibuat ketika Maritim Malaysia melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Selangor menerusi Op MARDOF siri 3 Bil. 2/2026, Op EHSAN, Op TIRIS dan Op KHAS TANJUNG.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 50 tahun bersama 19 awak-awak, terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 52 tahun dan 18 warga asing, iaitu seorang warga Thailand, tiga warga Indonesia serta 14 warga Myanmar berusia antara 20 hingga 48 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 13 kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala lima lagi mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah. Bagaimanapun, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan,” katanya.
Vesel bersama tekong dan kesemua kru yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, selain di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan Malaysia, khususnya perairan Selangor, bagi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kelestarian sumber marin negara terus terpelihara.
Sebarang aduan, maklumat, insiden kecemasan atau aktiviti jenayah di laut boleh disalurkan melalui Perkhidmatan Panggilan Kecemasan Next Generation Emergency Service (NG999), Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-8995 7820 untuk tindakan dan maklum balas segera.













.svg.png)

