TÜRKİYE, 3 Oktober – Usaha pemodenan armada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memasuki fasa penting menerusi pelancaran Kapal Misi Pelbagai Guna Pertama (Multi Purpose Mission Ship – MPMS 1) di Desan Shipyard, Türkiye, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail bersama Menteri Dalam Negeri Türkiye, Mustafa Çiftçi dan Menteri Industri dan Teknologi Türkiye, Mehmet Fatih Kacır, serta delegasi kedua-dua negara.
MPMS 1 direka sebagai platform pelbagai misi bagi melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan maritim, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), bantuan kemanusiaan, tindak balas bencana serta keperluan operasi lain. Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, aset berkenaan bakal meningkatkan keupayaan operasi jangka panjang, khususnya di kawasan berkepentingan strategik.
“Keupayaan MPMS 1 untuk beroperasi lebih lama di laut membolehkan Maritim Malaysia memperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih berterusan. Bagi rakyat, keupayaan ini bermakna perlindungan yang lebih berkesan terhadap sumber maritim, tindakan lebih menyeluruh terhadap jenayah di laut serta kesiapsiagaan lebih baik untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Pembinaan MPMS 1 kini mencapai kira-kira 85 peratus dan mendahului jadual, manakala MPMS 2 mencapai 34.05 peratus berbanding 32 peratus yang dirancang. MPMS 1 dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai LIMA 2027.
Projek MPMS turut memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Türkiye dalam sektor maritim, termasuk potensi kerjasama Maritim Malaysia dan Turkish Coast Guard dalam bidang latihan, pembangunan kapasiti, CARILAMAT, perkongsian maklumat serta eksesais bersama. Pemodenan aset ini menjadi antara langkah penting dalam memperkukuh armada Maritim Malaysia yang lebih moden, berdaya tahan dan responsif selaras dengan amanah Mengawal, Melindung dan Menyelamat.













.svg.png)

