WASHINGTON DC, 18 September – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat United States Coast Guard (USCG) di Washington DC atas jemputan Kerajaan Amerika Syarikat sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan maritim antara kedua-dua negara.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, bersama delegasi Kementerian Dalam Negeri dan Maritim Malaysia.
Sepanjang lawatan, Datuk Dr. Awang Alik telah mengadakan pertemuan bersama Komandan USCG, Admiral Kevin E. Lunday, bagi membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama, khususnya usaha memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan maritim, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta peningkatan keupayaan penguatkuasaan di perairan.
Antara agenda utama perbincangan ialah cadangan pemindahan ex-USCGC VALIANT kepada Maritim Malaysia.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada aspek kesesuaian, keperluan operasi serta manfaat strategik yang boleh diperoleh melalui cadangan berkenaan dalam memperkukuh keupayaan aset Maritim Malaysia.
Dalam pertemuan itu, Datuk Dr. Awang Alik menegaskan komitmen Kementerian Dalam Negeri untuk terus menyokong usaha memperkasa keupayaan Maritim Malaysia melalui kerjasama strategik yang mampu meningkatkan kesiapsiagaan operasi, sekali gus memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pihak USCG atas hubungan kerjasama yang terjalin sekian lama, khususnya dalam pembangunan modal insan, latihan profesional, perkongsian kepakaran teknikal serta peningkatan keupayaan operasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.
Delegasi turut mengadakan lawatan teknikal ke Surface Acquisition Logistics Center (SALC) USCG di Baltimore bagi meninjau keadaan fizikal ex-USCGC VALIANT sebagai sebahagian daripada proses penilaian teknikal dan pertimbangan terhadap cadangan pemindahan aset tersebut.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik dalam bidang keselamatan maritim, pembangunan kapasiti dan penguatkuasaan undang-undang di laut.
Hubungan erat ini diyakini akan terus menyumbang kepada usaha memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.













.svg.png)

