KOTA TINGGI, 3 SEPTEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mengesan mangsa yang masih hilang dalam kejadian di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, diteruskan hari ini bermula jam 7.00 pagi.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, operasi yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru itu telah diperluaskan meliputi kawasan seluas 7.0 batu nautika persegi berdasarkan perkembangan semasa operasi.
Pada kira-kira jam 1.53 petang, satu lagi mangsa telah ditemukan dalam sektor pencarian oleh sebuah bot rekreasi yang turut menyertai operasi pencarian. Mangsa ditemukan kira-kira 900 meter dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Thaqif Rayyan bin Rumainoor. Pengecaman telah dilakukan oleh waris sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Aset yang terlibat dalam operasi pencarian hari ini terdiri daripada bot PETIR 50 Maritim Malaysia, bot KCB 24 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bot PAC253 Polis Diraja Malaysia (PDRM), bot PAR 6 Pasukan Polis Marin (PPM), bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta lima bot nelayan dan rekreasi daripada komuniti setempat.
Operasi CARILAMAT kini diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang. Kawasan pencarian akan terus diperluaskan dan diselaraskan berdasarkan keadaan cuaca, keadaan laut serta perkembangan semasa operasi.
Maritim Malaysia bersama agensi-agensi terlibat akan terus menggembleng aset dan kekuatan yang bersesuaian bagi memastikan usaha mencari dan menyelamat dilaksanakan secara berterusan sehingga kesemua mangsa berjaya ditemukan.













.svg.png)

